Dua peserta Ironman Langkawi diberi bantuan kecemasan selepas alami masalah kesihatan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 7, 2023 14:27 MYT
Oktober 7, 2023 14:27 MYT
LANGKAWI: Dua peserta kejohanan triathlon, Ironman Langkawi Malaysia di sini terpaksa diberi bantuan kecemasan selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika berlangsungnya cabaran itu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata ketika kejadian, peserta sedang melakukan disiplin renang di Pantai Kok, di sini.
“Seorang peserta wanita berusia 44 tahun dipercayai mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menerima bantuan daripada petugas keselamatan pantai lalu dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha.
“Keadaan peserta wanita itu dilaporkan tidak sedarkan diri dan masih menerima rawatan.
“Seorang lagi peserta lelaki turut mengalami masalah kesihatan dan dibantu pasukan perubatan di tepi pantai namun dibenarkan pulang selepas dia kembali pulih,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Shariman berkata, seorang lelaki yang dipercayai penonton mengalami kecederaan di kepala kerana dipercayai terjatuh daripada kawasan tinggi ketika menyaksikan acara Ironman berlangsung.
Lelaki itu bagaimanapun telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang.
Katanya, seramai 120 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan keselamatan peserta dan penonton.
Sementara itu, Shariman menasihati orang awam supaya jangan menimbulkan sebarang spekulasi dan mendapatkan laporan yang sahih sebelum menyebarkan sesuatu kejadian.