Dua perlawanan persahabatan uji kombinasi, keserasian pemain B-19
Bernama
Ogos 11, 2020 05:56 MYT
Ogos 11, 2020 05:56 MYT
Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara akan diuji dalam dua perlawanan persahabatan menentang dua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menjelang Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.
Ketua jurulatih, Brad Maloney berkata perlawanan menentang pasukan Liger Super, Petaling Jaya FC, pada Rabu dan pasukan Liga Premier, Selangor II, Rabu depan, akan menjadi platform tepat untuk menilai kombinasi dan keserasian di antara pemain.
"Sudah pasti, kami mahu beberapa perlawanan yang sukar. Kedua-dua pasukan lawan ini adalah pasukan yang sangat baik dengan sebilangan pemain senior...jadi saya fikir ia akan menjadi ujian baik untuk anak buah serta melihat tahap pemain ketika ini," katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan di padang PKNS, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, pemain tengah Muhammad Firdaus Muhamad Kaironnisam enggan dibayangi kelibat bapanya, Muhamad Kaironisam Sahabuddin yang pernah mewakili skuad kebangsaan dari 2001 hingga 2014.
Pemain berusia 17 tahun itu, pada masa sama, turut menegaskan perlu bekerja keras bagi merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain ke Uzbekistan memandangkan kesemua pemain yang dipanggil ketika ini mempamerkan keupayaan terbaik.
"Sudah banyak peningkatan dipamerkan kesemua pemain apabila kem latihan memasuki fasa kedua dan semua pemain sudah memahami peranan masing-masing.
"Bagi saya, kita perlu terus mempertingkatkan intensiti latihan, selain mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan sebab kami perlu tingkatkan kecergasan ke tahap terbaik," jelasnya yang mesra dengan panggilan 'Mario' dalam kalangan rakan sepasukan.
Sesi latihan pusat Fasa 2 skuad B-19 kebangsaan yang bermula sejak 3 Ogos, akan berakhir pada 30 Ogos ini.
Ia disusuli latihan Fasa 3 pada September sebelum Maloney menyenaraikan senarai akhir 23 pemain ke Uzbekistan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, memulakan kempen kejohanan menentang Tajikistan pada 16 Okt; dan Qatar (19 Okt), sebelum menamatkan aksi pusingan awal berdepan Yaman pada 22 Okt di Stadium AGMK, Olmalik.
Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan layak ke peringkat suku akhir manakala empat pasukan yang mara ke separuh akhir, layak secara automatik ke Piala Dunia B-20, 2021 di Indonesia.
-- BERNAMA
#B-19
#Brad Maloney
#keserasian
#kombinasi
#Liga-M
#Malaysia
#Muhammad Firdaus Muhamad Kaironnisam
#pasukan Liga Malaysia
#perlawanan persahabatan
#skuad kebangsaan
#Uzbekistan