Dua lagi peninju Malaysia mara ke peringkat separuh akhir

Bernama
Ogos 22, 2017 09:30 MYT
Peninju (dari kiri) Indran Rama Krishnan, Khir Akyazlan Azmi, Mohd Fuad Mohd Redzuan dan Arfiqanie Ahmad Ashori di Kompleks MSN, 15 Ogos, 2017. --fotoBERNAMA / Fail
Dua lagi peninju negara Muhamad Fuad Mohd Redzuan dan Adli Hafidz Mohd Pauzi mara ke peringkat separuh akhir dalam acara tinju kategori 49kg (light fly) dan 81kg (light heavy) temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Muhamad Fuad akan berdepan Lasavongsy Bounpone dari Laos manakala Adli Hafidz akan bertemu Muhammad Dinie Hakeem dari Singapura pada saingan separuh akhir Selasa.
Semalam, peninju negara, R.K Indran juga mara ke separuh akhir bagi kategori middleweight (75kg) dan akan bertemu peninju Filipina Eumir Fellix Marcial.
Muhamad Fuad menundukkan Carlo Paalam dari Filipina manakala Adli Hafidz menewaskan Vo Van Que dari Vietnam pada pusingan suku akhir bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di sini, pada Isnin.
Muhamad Fuad ketika ditemui Bernama berkata beliau berazam mahu menukar kilauan gangsa yang sudah berada dalam genggamannya kepada emas.
"Saya mahu balas jasa dan pengorbanan isteri kerana telah meninggalkannya di Malaysia selama dua bulan lebih untuk menjalani latihan intensif di Kazakhstan sebelum menyertai Sukan SEA ini," katanya.
Bagaimanapun seorang lagi peninju negara Khir Akyazlan Azmi tewas di tangan Charly Suarez dari Filipina dalam kategori light welter (64kg).
Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara tinju pada Sukan SEA adalah dua pingat emas pada edisi 2009 di Laos menerusi Muhammad Farkhan Mohd Haron (75kg) dan Muhd Fairus Azwa dalam kategori 81kg.
-- BERNAMA
#Adli Hafidz Mohd Pauzi #KL2017 #Muhamad Fuad Mohd Redzuan #peninju #Sukan SEA #tinju
;