Dua kekalahan berturut-turut: Zahasmi kecewa dengan pemain Kelantan
Bernama
Februari 22, 2017 13:08 MYT
Februari 22, 2017 13:08 MYT
Ketua Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail melahirkan kekecewaan terhadap prestasi pemainnya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut pada saingan Liga Super musim ini dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Pasukan bimbingannya itu tewas 0-2 di gelanggang sendiri ketika menentang Melaka United malam tadi hasil jaringan Ilija Spasojevic pada minit ke-58 dan Muhammad Fauzi Rozlan pada minit-minit akhir perlawanan.
Kelantan sebelum ini tewas 0-1 kepada Kedah dalam saingan sama pada Sabtu lepas.
"Saya amat kecewa dengan dua keputusan yang diperoleh Kelantan dalam dua perlawanan ini.
"Mereka bermain di halaman sendiri dan menguasai perlawanan pada peringkat awal, namun akhirnya terleka sehingga membiarkan pasukan lawan menjaringkan gol," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Zahasmi berkata pemainnya tidak mengamalkan semangat bermain berpasukan sehingga melakukan kesilapan seperti hantaran kurang tepat menyebabkan mereka kehabisan idea untuk mengimbangi perlawanan.
"Kami perlu bekerja keras bagi memperbaiki kelemahan untuk perlawanan seterusnya agar kekalahan tidak berulang walaupun secara hakikatnya kami tidak mempunyai banyak masa untuk memperbaikinya," katanya.
-- BERNAMA