Dua kejohanan tempatan medan uji perenang para negara
Bernama
September 7, 2020 05:29 MYT
September 7, 2020 05:29 MYT
KUALA LUMPUR: Dua kejohanan domestik akan dianjurkan sebagai medan menguji keupayaan dua perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Brenda Anellia Larry sebelum ke Sukan Paralimpik Tokyo, tahun depan.
Kejohanan itu adalah Kejohanan Renang Kebangsaan dijangka pada awal Oktober dan Piala Presiden pada Disember akan diadakan di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.
Namun, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) masih belum menetapkan tarikh penganjuran kedua-dua kejohanan tersebut kerana perlu mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berkata keputusan menghantar dua atlet itu ke kejohanan berkenaan diputuskan pada mesyuarat kerja bersama wakil ASUM, hari ini.
"Penyertaan kedua-dua perenang para itu bagi membolehkan mereka mengekalkan momentum masing-masing, selain menguji prestasi semasa susulan ketiadaan kejohanan pada tahun ini akibat pandemik COVID-19," katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini, pada Isnin.
Suhardi turut memaklumkan bahawa kedua-dua perenang para negara itu akan menyertai latihan bersama skuad renang kebangsaan bagi memantapkan persediaan mereka menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo pada 24 Ogos hingga 5 Sept, 2021.
"Untuk tahun ini hanya ada dua kejohanan, tapi InsyaAllah pada tahun hadapan kita merancang strukturkan pertandingan yang lebih kompetitif kepada mereka berdua," katanya sambil mengharapkan lebih ramai perenang para negara layak ke Tokyo.
Muhammad Nur Syaiful layak ke Sukan Paralimpik Tokyo selepas melakukan catatan 1 minit 16.27 saat dalam acara 100 meter gaya bebas kategori S5 manakala Brenda pula mencatatkan 58.12s dalam acara 50m kuak lentang kategori S4 di Kejohanan Renang Siri Dunia Para di Singapura, tahun lepas.
Muhammad Nur Syaiful, 25, dari Sarawak mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun, manakala Brenda, 15, yang berasal dari Sabah, dilahirkan tanpa kedua-dua tangan.
-- BERNAMA