Dua jaringan Darren Lok bantu Sabah FC benam Hougang United 3-1

Bernama
September 21, 2023 22:50 MYT
Pemain Sabah FC Darren Lok (tiga, kanan) meraikan jaringan keduanya ketika menentang Hougang United dalam saingan Kumpulan H bagi perlawanan AFC Cup 2023 di Stadium Likas. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sabah FC berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila menewaskan Hougang United 3-1 dari Singapura dalam aksi pertama Kumpulan H saingan Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Skuad Badak bermula garang apabila penyerang Gabriel Peres memperolehi gol seawal minit kelima apabila tandukannya berjaya menewaskan penjaga gol pasukan lawan Zaiful Nizam Abdullah.
Pada minit ke-37 Sabah FC sekali lagi berjaya menambah jaringan hasil sepakan mudah Darren Lok di kawasan kotak penalti, hasil sepakan sudut Saddil Ramdani, menjadikan perlawanan kekal 2-0 sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan semakin berani melakukan beberapa percubaan menarik sehingga pasukan pelawat berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Takayama Kazuma pada minit ke-61 untuk menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Namun Sabah tidak menunggu lama apabila selang dua minit kemudian, Darren sekali lagi berjaya menjaringkan tandukan tepat di dalam kotak penalti menjadikan kedudukan 3-1, sekali gus muncul wira perlawanan untuk kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Hai Phong FC mengecewakan PSM Makassar 3-0 di Stadium Bolasepak San Van Dong Lach Tray, Hai Phong, Vietnam.
Beraksi di laman sendiri ibarat tuah buat pasukan Hai Phong apabila pemain pertahanan Erwin Gutawa tertampan ke gawang sendiri pada minit kelapan yang menyaksikan perlawanan tamat 1-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan semakin berani melakukan percubaan menarik namun jaringan kedua skuad Hai Phong disudahi pemain tengah Nguyen Hu Son pada minit ke-73 sebelum Joseph Mpande menoktahkan kemenangan pada minit ke-86.
Susulan kemenangan itu, Hai Phong kini mendahului Kumpulan H, berkongsi tiga mata dengan Sabah yang menghuni tangga kedua namun dipisahkan dengan perbezaan gol manakala Hougang United dan PSM Makassar masing-masing menduduki tempat ketiga dan terakhir tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA
#piala afc #Sabah FC #Hougang United #Kumpulan H