Dua EXCO FAM bakal bertugas di Piala Dunia 2018
Syakirah Zulkifly
Jun 6, 2018 05:30 MYT
Jun 6, 2018 05:30 MYT
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan dua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM dihantar bertugas pada Piala Dunia FIFA yang bakal berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.
Subkhiddin Mohd Salleh dan Christopher Raj dilantik oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai Instruktur Teknikal Pengadil dan pegawai media venue perlawanan di Moscow, Rusia.
Menurut Hamidin dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi FAM, Subkhiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, mereka sudah memulakan tugas pada 31 Mei lalu hingga 17 Julai.
“Subkhiddin ditugaskan untuk merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklumbalas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.
“Christopher yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM pula akan mula bertugas hari ini hingga 10 Julai depan dengan berperanan memastikan operasi media di venue perlawanan berjalan lancar termasuk urusan pengendalian sidang media, fasiliti dan lain-lain keperluan media,” tambahnya.
Sementara itu, pihak FAM juga mengucapkan selamat bertugas kepada mereka dan berasa bangga atas pelantikan itu.
“FAM berasa bangga dengan pelantikan Subkhiddin dan Christopher ini dan berharap kedua-dua mereka dapat menjalankan tugas dengan baik di sana, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan FAM. Selamat maju jaya!”, ujar Hamidin.