Dua beregu remaja negara ke separuh akhir di Spokane

Bernama
Oktober 7, 2023 12:10 MYT
Gandingan Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai menewaskan beregu lelaki Jepun Kosuke Kakuta-Kaito Sugawara 12-21, 21-17, 21-16. - Foto Facebook/BAM
KUALA LUMPUR: Dua wakil negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Dalam aksi suku akhir, gandingan Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai bangkit selepas tewas set pertama untuk mengetepikan beregu lelaki Jepun Kosuke Kakuta-Kaito Sugawara 12-21, 21-17, 21-16.
Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan kelima, akan berdepan pilihan keenam dari Taiwan Lai Pon Yu-Tsai Fu Cheng, yang menyingkirkan pilihan ketiga dari China Xu Hua Yu-Zhang Le Jian 21-12, 16-21, 21-16.
Sementara itu, beregu campuran Low Han Chen-Cheng Jie Yu menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir selepas mengecewakan gandingan Indonesia Adrian Pratama-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu 21-18, 21-16.
Wakil negara juga pilihan keempat kejohanan itu akan berdepan pilihan utama Zhu Yi Jun-Huang Ke Xin selepas pasangan dari China itu menewaskan Otto Reiler-Amanda Aarrebo Petersen dari Denmark 21-9, 21-15.
Nasib berbeza buat dua lagi wakil negara apabila pemain perseorangan lelaki Muhammad Faiq Haziq dan beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting terkandas di suku akhir.
Muhammad Faiq tunduk kepada pemain China Hu Zhe An 10-21, 21-16, 2-21 manakala gandingan Xin Yee-Carmen tewas kepada pasangan Jepun Maya Taguchi-Aya Tamaki 13-21, 14-21.
-- BERNAMA
#Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2023 #Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai #Low Han Chen-Cheng Jie Yu #Separuh Akhir
;