Dua beregu negara buru kejuaraan di final Terbuka Taiwan

Bernama
Jun 25, 2023 08:00 MYT
Wei Chong-Kai Wun tewas pada set pertama 17-21, namun bangkit memenangi set kedua 21-19 sebelum menoktahkan kemenangan dengan 21-9. - Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki dan beregu campuran negara memastikan Malaysia meneruskan cabaran di pentas final Terbuka Taiwan 2023 selepas masing-masing berjaya melepasi halangan separuh akhir di Arena Tian-Mu semalam.
Pada aksi separuh akhir, juara bertahan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagaimanapun tidak melalui pertarungan mudah berdepan rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang juga pilihan pertama kejohanan.
Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan kelima, tewas pada set pertama 17-21, namun bangkit memenangi set kedua 21-19 sebelum menoktahkan kemenangan dengan 21-9.
Lawan beregu lelaki negara di pentas akhir adalah wakil tuan rumah sama ada Lin Chia Yu-Lin Yong Sheng atau pilihan kedua Lu Ching Yao-Yang Po Han yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Bagi beregu campuran Cheng Tang Jie-Toh Ee Wi pula, mereka berada dalam landasan tepat memburu gelaran kedua Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila mudah mengetepikan wakil tuan rumah Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-14, 21-19.
Pasangan di ranking ke-19 dunia itu akan berdepan wakil tuan rumah Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min yang menewaskan rakan senegara Tseng Min Hao-Hsieh Pei Shan 21-10, 21-8.
Tang Jie-Ee Wei muncul juara Masters Orleans di Perancis pada April lepas, yang juga kejuaraan sulung Jelajah Dunia BWF mereka.
-- BERNAMA
#badminton #Terbuka Taiwan 2023 #Man Wei Chong-Tee Kai Wun #beregu campuran negara
;