DSV mahu kembalikan zaman kegemilangan Kelantan FC
Astro Arena
Jun 10, 2023 07:00 MYT
Jun 10, 2023 07:00 MYT
JUTAWAN kosmetik terkenal, Dato’ Seri Vida (DSV), menyatakan hasratnya untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kelantan FC jika kembali mengambil alih semula pasukan itu daripada pemilik semasa, Norizam Tukiman.
DSV telah menyuarakan keinginannya untuk untuk mengambil alih Kelantan FC namun usahawan dari Kelantan itu tidak mahu menanggung tunggakan gaji yang banyak.
DSV membuat kenyataan tersebut selepas bersimpati melihat situasi yang berpangkalan di pantai timur itu.
Jika DSV berjaya mengambil alih, ini merupakan kali kedua beliau terlibat dengan Kelantan FC. Untuk rekod, pada tahun 2016, DSV telah pun menjadi penaja utama Kelantan dengan nilai tajaan melebihi RM16 juta.
Ditemubual dalam Nadi Weekend, DSV berkata, "Kepada peminat bola sepak Kelantan FC, saya mengharapkan pasukan ini mampu meningkat ke tahap yang lebih tinggi dan saya berharap pemilik semasa kelab mampu melakukannya dan jika tidak, serahkan kepada saya.
"Jika saya meminta untuk mendapatkan kelab ini, ia akan menjadi situasi yang berbeza. Saya ingin memberitahu jika mereka mampu untuk terus memacu kelab, silakan dan jika tidak, saya sedia menerima dan terus meningkatkan lagi pasukan ini.
"Saya mahu cuba untuk membawa pasukan ke tahap yang sepatutnya, bukannya berada di kedudukan yang tercorot."
Ditanyakan mengenai dana yang dimiliki mampu menguruskan kelab untuk tempoh 10 tahun, DS Vida berkata, "Di bawah pengurusan baru, saya tidak akan mengulangi apa yang dilakukan sebelum ini, dengan meletakkan pemasaran nombor satu dan kelab nombor dua. Corak pimpinan kali ini sudah berubah dengan meletakkan keperluan dan tuntuan kelab menjadi keutamaan."
Mengenai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan pemilik semasa, DS Vida menjawab, "Kami memiliki ideologi yang berbeza, pandangan yang berbeza, mana mungkin ada dua kepala dalam satu kapal.
"Saya percaya dengan pengalaman saya serta pasukan di belakang saya, jika diberikan peluang untuk sekali lagi memimpin kelab ini, saya percaya kejayaan akan kembali hadir buat pasukan Kelantan."