Dota 2: xNova belum puas, masih haus gelaran terbaik dunia
Mariah Ahmad
Ogos 26, 2018 16:53 MYT
Ogos 26, 2018 16:53 MYT
Pemain profesional Dota 2 kelahiran Malaysia, Yap Jian Wei (xNova) yang bermain untuk pasukan China LGD Gaming (PSG.LGD) mengakui tidak mahu sekadar berpuas hati meraih tempat kedua dalam The International (TI) 8.
Pemain berusia 20 tahun itu berkata dia berhasrat dan bercita-cita tinggi untuk kembali ke pentas grand final kejohanan dunia itu dan mahu membawa pulang Aegis (trofi kemenangan).
“Pada mulanya, saya rasa sedikit teruk kerana kami hampir memenangi perlawanan tersebut namun saya menyifatkan yang kami masih belum cukup bagus lagi.
“Saya berharap pasukan kami dapat beraksi dengan baik pada musim akan datang.
“Saya menyasarkan kemenangan yang pasti apabila kembali ke pentas TI ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI selepas tamat perlawanan menentang pasukan Eropah, OG.
Dalam grand final yang berlangsung di Vancouver, Kanada itu menyaksikan OG menewaskan PSG.LGD 3-2.
Menerusi kemenangan dalam kejohanan Dota 2 paling berprestij itu, OG membawa pulang hadiah wang tunai RM45 juta, iaitu 43 peratus daripada hadiah wang terkumpul yang ditawarkan(RM104 juta).
Sementara itu, xNova bersama-sama pasukan PSG.LGD membawa hadiah wang tunai RM16 juta.
Menurut portal data pendapatan pemain e-sukan, esportseartnings, xNova kini meraih RM4.5 juta (AS$1.1 juta) menerusi kemenangan kejohanan-kejohanan Dota 2 yang diraihnya termasuk pencapaian tempat kedua TI itu.
Meskipun dia mungkin bergelar jutawan dengan jumlah wang tunai yang diraih itu, xNova berkata kejayaan sebenar dalam karier Dota 2 diukur daripada perpektif yang lain.
“Duit mungkin sebahagian daripada objektif saya dalam arena Dota 2 ini namun matlamat yang sebenar adalah merangkul gelaran juara dunia dan menjadi yang terbaik,” kata xNova.
Dulu diskriminasi, kini dipuji
Perjalanan xNova dalam karier e-sukan bermula pada sedekad lalu apabila dia berusia 10 tahun. Sudah tentunya perjalanannya ke tahap ini bukan mudah, apabila dia berdepan dengan cabaran diskriminasi dan tanggapan persepsi sebagai pemain permainan video.
"Detik paling sukar bagi saya adalah ketika saya didiskriminasikan dan mendapat kritikan hebat dengan hanya menjadi pemain profesional Dota 2.
"Ramai yang tidak nampak masa depan yang jelas dalam karier ini. Saya berasa kecewa apabila pilihan kerjaya saya ini mendapat tentangan keluarga dan rakan-rakan. Saya masih di bangku sekolah pada ketika itu.
"Namun mereka memberi peluang setahun kepada saya untuk membuktikan apa yang dipilih ini boleh membuahkan hasil," tambahnya.
Jelas xNova, penerimaan keluarga dan rakan-rakannya kini berbeza apabila dia lebih mendapat sokongan yang lebih berbanding sebelum ini.
"Saya bertambah yakin dalam kerana sokongan mereka. Saya lega kerana berjaya ke tahap ini.
"Saya juga berterima kasih kepada peminat dan mengharapkan mana-mana pemain Dota 2 yang mahu menceburi dunia profesional ini supaya tidak cepat berputus asa dan berusahalah dengan lebih keras.
"Apa erti kehidupan, tanpa impian bukan?" kata xNova.
xNova yang kini berpangkalan di China pernah menyertai beberapa pasukan profesional, sebelum dipilih untuk menyertai pasukan PSG.LGD pada awal tahun ini.
Pada tahun ini sahaja, beberapa pencapaian telah diraih xNova dan PSG.LGD termasuk MDL Changsha Major dan EPICENTER XL.
Selain xNova, PSG.LGD turut disertai Wang Chunyu (Ame), Lu Yao (Somnus), Yang Shenyi (Chalice) dan Xu Linsen (fy).