Dos Santos selesa bermain dengan peranan baharu bersama pasukan kebangsaan

Bernama
Mac 25, 2023 04:00 MYT
Pemain kelahiran Brazil itu membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan ketika Malaysia menang 1-0 ke atas Turkmenistan. - Foto Facebook/FAM
JOHOR BAHRU: Pemain naturalisasi baharu Malaysia Endrick Dos Santos, tidak berdepan sebarang kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan Harimau Malaya walaupun beliau diberikan peranan berbeza daripada kebiasaannya.
Pemain kelahiran Brazil itu yang membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan ketika Malaysia menang 1-0 ke atas Turkmenistan, pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 Khamis lalu berkata, dia berasa selesa walaupun Ketua Jurulatih Kim Pan Gon meletakkannya sebagai pemain tengah yang membantu bahagian pertahanan.
Beraksi di bahagian itu dilihat akan mengehadkan sumbangannya kepada bahagian serangan skuad Pan Gon, namun pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sehingga kini sudah menjaringkan tiga gol dalam Liga Super musim ini, berkata kehadirannya adalah untuk mengimbangi kekuatan di bahagian tengah dan menjadikan pasukan lebih baik.
"Saya tidak berasa kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol dalam penampilan sulung saya. Sudah tentu, saya bermain pada posisi itu ( ketika menentang Turkmenistan) tetapi saya selesa, saya telah bermain banyak kali dalam posisi ini.
"Bagi saya tidak kira siapa yang menjaringkan gol dan bantuan jaringan, kerana yang paling penting ialah kemenangan. Jadi saya tidak datang ke sini dan berfikir untuk (hanya) menjaringkan gol, saya datang untuk membantu. Saya gembira dapat membuat penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan, ada ruang untuk diperbaiki dan saya fikir kami boleh menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Di JDT, Dos Santos dilihat lebih aktif dalam membantu bahagian serangan untuk menggerakkan bola ke hadapan, sekali gus memberinya ruang untuk mencatatkan namanya sebagai penjaring selain bantuan jaringan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan apa yang penting semasa sesi latihan pasukan kebangsaan adalah untuk membentuk persefahaman yang baik, dan semua pemain kini sedang membina komunikasi yang baik antara satu sama lain bagi memastikan skuad mencapai objektif yang ditetapkan, menjelang pertembungan Hong Kong Selasa depan.
"Kami mempunyai masa yang singkat untuk mengenali satu sama lain, tetapi kami yakin kami mempunyai pasukan yang sangat baik, kami mempunyai hubungan yang baik dengan jurulatih, kakitangan dan pemain, dan kami datang ke sini untuk memenangi kedua-dua perlawanan (Turkmenistan dan Hong Kong), " kata pemain berusia 28 tahun itu.
Malaysia kini sedang bersedia untuk berhadapan Hong Kong dalam satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, dan mengharapkan tuah bermain di stadium itu, untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut, selepas pertembungan Turkmenistan di tempat yang sama.
-- BERNAMA
#JDT #perlawanan persahabatan #harimau Malaya #Liga Super
;