Doping: Wendy Ng mohon sidang video

Bernama
Februari 22, 2018 04:53 MYT
Chan berkata susulan kes doping itu, Wendy tidak akan bersaing pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April ini serta dilarang menjalani latihan bersama skuad negara. - Gambar fail
Atlet terjun negara, Wendy Ng telah memohon pertimbangan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) supaya proses pendengaran kes doping terhadapnya dijalankan menerusi sidang video.
Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan bekata Wendy sepatutnya menghadiri pendengaran kes doping itu di Switzerland tetapi memohon pertimbangan itu susulan perbelanjaan ke negara itu adalah sangat tinggi.
"Ketika ini kami hanya menunggu jawapan balas daripada FINA mengenai permohonan Wendy itu. Buat masa ini perkara itu masih belum selesai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil di sini pada Khamis.
Chan berkata susulan kes doping itu, Wendy tidak akan bersaing pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April ini serta dilarang menjalani latihan bersama skuad negara.
Katanya, pihaknya telah meminta atlet itu supaya memberi tumpuan kepada Sukan Asia 2018 di Indonesia dengan harapan kes doping itu diselesaikan sebelum temasya sukan tersebut bermula 18 Ogos hingga 2 Sept ini.
BACA: Sukan SEA: Satu kes doping dikesan
BACA: Atlet Sukan SEA 2017 negara gagal ujian doping
BACA: SEAGF umumkan tiga nama atlet gagal ujian doping KL2017
Wendy didapati positif dengan bahan terlarang sibutramine selepas diuji pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos lalu.
Sibutramine adalah bahan terlarang yang disenaraikan di bawah kategori S6 oleh kod peraturan Agensi Antidoping Dunia (WADA).
-- BERNAMA
#ASUM #atlet #bahan terlarang #doping #FINA #KL2017 #Mae Chan #pendengaran #Persekutuan Renang Antarabangsa #sibutramine #Sukan Asia #Sukan Komanwel #Sukan SEA #Switzerland #video #WADA #wendy ng
;