Doping: Hukuman sivil terhadap pesalah wajar dipertimbangkan

Astro Arena
September 10, 2021 07:15 MYT
Hidayat menggesa pihak yang terlibat jangan menggugurkan sukan angkat berat dengan serta merta kerana ia memberi kesan yang besar. - Foto Astro ARENA
LEGENDA angkat berat negara, Hidayat Hamidon, bimbang dengan nasib dua anaknya terutama Muhammad Erry Hidayat berikutan perancangan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk membubarkan skuad kebangsaan ekoran terus dipalit kes doping.
"Selama saya ditamatkan kontrak, yang membantu (keluarga) ialah anak saya.
"Dia hulurkan RM2,000 hasil daripada program latihannya untuk membantu saya. Jadi jika Erry diberhentikan selain dia juga masih menuntut di universiti, saya sangat bimbang dengan prestasinya serta nasib sekeluarga.
"Oleh itu, pihak-pihak yang terbabit jangan gugurkan sukan ini dengan serta merta kerana ia memberi kesan yang besar," kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998 itu.
Seorang lagi anak Hidayat bakal mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.
BACA: Doping: MSN sokong bubar skuad angkat berat negara
BACA: Dua atlet angkat berat positif doping digantung serta-merta - PABM
BACA: Doping: PABM rancang bubar skuad kebangsaan
Dalam masa sama, ada juga yang mencadangkan kerajaan agar menggubal akta dengan menjadikan kes positif doping sebagai kesalahan sivil.
"Penggunaan bahan perangsang ini perlu dibincangkan di peringkat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) agar menjadikannya sebagai satu kesalahan, contohnya penjara hingga 4-5 tahun.
"Jadi orang tidak berani untuk menjualnya. Ini kerana ada permintaan daripada ahli angkat berat dan bina badan. Puncanya perlu disekat," kata Roswady Abd Rashid yang memenangi gangsa Sukan Komanwel 2006.
Bekas peserta Sukan Komanwel 2018, Sharifah Inani Najwa, mengkritik atlet yang terlibat sambil menganggap mereka bertindak mementingkan diri sendiri hingga mengheret sukan itu ke tahap bakal dibubarkan.
"Atlet yang ambil bahan terlarang ini didorong oleh ego. Disebabkan tidak mahu kalah, mereka ambil jalan mudah.
"Mereka tidak fikir masa depan, maruah keluarga jadi mereka perlu tanggung sendiri (akibatnya)," katanya.
#doping #Hidayat Hamidon #atlet #angkat berat #bubar skuad kebangsaan
;