Donnarumma menangis diejek

Astro Arena
Disember 14, 2017 11:10 MYT
Donnarumma menangis sebelum memulakan perlawanan sehingga terpaksa ditenang ketua pasukan, Leonardo Bonucci. Foto Astro ARENA.
MILAN 3 VERONA 0
Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, bergegas mempertahankan penjaga gawang, Gianluigi Donnarumma, selepas pemain remaja berkenaan menjadi mangsa ejekan penyokong ultras dalam kemenangan 3-0 ke atas Verona dalam aksi Coppa Italia, awal pagi tadi.
Donnarumma memaparkan persembahan bertenaga di San Siro yang menyaksikan gol sumbangan Suso, Alessio Romagnoli dan Patrick Cutrone menempah pertemuan 'derby' menentang Inter di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, pemain berusia 18 tahun itu menangis sebelum memulakan perlawanan sehingga terpaksa ditenang ketua pasukan, Leonardo Bonucci, selepas gerombolan penyokong ultras itu menaikkan sepanduk berbunyi: "Kesabaran kami sudah sampai ke kemuncaknya" berikutan laporan bahawa ejen Donnarumma, Mino Raiola, sedang mencari jalan untuk membatalkan kontrak lanjutannya.
Pemain antarabangsa Itali itu dikaitkan dengan kontroversi di Milan berikutan perbincangan kontraknya.
"Dia seorang budak berusia 18 tahun, sudah tentu dia terkesan," kata Gattuso kepada Rai Sport.
"Saya hanya boleh mengucapkan terima kasih atas apa yang dilakukannya. Pada usianya, dia adalah penjaga gol terbaik di dunia ketika ini.
"Anda boleh tahu dari riaknya bahawa dia tidak gembira tetapi saya tahu dia seorang atlet dan budak yang hebat. Dia akan mendapat perlindungan saya.
"Sekiranya kelab menyatakan bahawa kami tidak perlu menjual sesiapa pun dan tidak mahu sesiapapun, mengapa perlu kita bercakap tentang ini?
"Saya menghormati peminat, namun orang ramai perlu faham sama ada Gigio benar-benar mahu pergi atau jika dia mahu kekal. Saya boleh mengatakan saya bekerja dengan atlet dan profesional yang hebat.
"Saya adalah jurulatih Milan, jadi saya boleh bercakap tentang pemain, atlet tetapi perkara lain. Gigio tidak memberitahu saya secara peribadi bahawa dia mahu pergi.
"Saya tidak bercakap tentang Mino Raiola kerana saya bercakap dengan Gigio setiap hari, saya tidak tahu sama ada Mino cuba memainkan peranan.
"Ini sangat mengerikan ini kerana orang menggambarkan seorang pemain remaja seolah-olah dia seorang raksasa dan ia sesuatu yang tidak wajar.
"Untungnya, terdapat hanya 9,000 orang di stadium malam ini, bayangkan bagaimana perasaannya jika ada 50,000 orang menghinanya."
#AC Milan #bola sepak #Coppa Italia #derby #Gennaro Gattuso #Gianluigi Donnarumma #kontrak #Leonardo Bonucci #Mino Raiola #Verona
;