Donnarumma bakal dominasi status penjaga gol terbaik dunia

Astro Arena
Julai 17, 2021 07:23 MYT
Pemain Itali meraikan Gianluigi Donnarumma yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti terakhir pada perlawanan akhir Euro 2020 antara England dan Itali di Stadium Wembley di London, 11 Julai 2021. (Gambar fail AP)
GIANLUIGI Donnarumma merupakan pemenang Euro 2020 dan merupakan bintang Itali yang bakal menjadi penjaga gol terbaik dunia bagi 10 hingga 15 tahun akan datang, menurut Fabio Cannavaro.
Pemain berusia 22 tahun itu dinobat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan UEFA atas aksi cemerlang dalam penentuan sepakan penalti dalam membantu Itali mengatasi England dalam final di Wembley.
Donnarumma menepis percubaan Jadon Sancho dan Bukayo Saka, selepas Marcus Rashford terlebih dahulu melakukan percubaan yang terkena tiang gol, sekaligus membenarkan Itali menamatkan penantian 55 tahun untuk bergelar juara Eropah.
Dia telah memenangi lima penentuan penalti bersama kelab dan negara, selepas turut melakukannya ketika membantu mengatasi Sepanyol.
Legenda Itali, Cannavaro, Donnarumma menjawab kritikan terhadapnya dengan persembahan di Euro 2020 dan menjangkakan rakan senegaranya itu akan terus menyinar untuk dekad yang mendatang.
"Donnarumma seorang juara sebenar bagi skuad Azzurri ini," kata Cannavaro kepada Tuttosport. "Saya agak terkejut, sebelum Euro, ramai yang berpandangan dia seperti seorang penjaga gol yang biasa.
"Tiada apa yang biasa mengenai Gigio. Dia baru sahaja berusia 22 tahun. Dia akan menjadi penjaga gol terbaik bagi 10 hingga 15 tahun mendatang."
Selepas meraikan kemenangan bersama Azzurri, penjaga gol itu mengambil keputusan untuk berhijrah secara percuma dari Milan kepad Paris Saint-Germain, di mana dia akan bersaing dengan Keylor Navas.
"Paling tidak kita akan menikmatinya bersama pasukan kebangsaan," tambah Cannavaro.
#Gianluigi Donnarumma #Itali #penjaga gol terbaik #penjaga gol #Euro 2020
;