Dominic, Norshahrul setuju potong gaji, kekal beraksi di Thailand
Astro Arena
Mei 15, 2020 08:05 MYT
Mei 15, 2020 08:05 MYT
DUA orang tonggak Harimau Malaya, Dominic Tan dan Norshahrul Idlan Talaha, akhirnya berjaya mencapai persetujuan mengenai pemotongan gaji bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Thailand.
Dominic dan Norshahrul bersetuju untuk gaji dipotong kerana apa yang lebih penting adalah kontrak tetap disambung ketika pandemik COVID-19 belum reda.
Pertahanan Police Tero FC, Dominic, berdepan pemotongan gaji 50 peratus bermula April hingga Ogos depan tetapi bayaran gaji penuh akan diterima sebaik sahaja Liga Thailand bermula, sebulan kemudian.
"Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) ada keluarkan kenyataan, di mana semua kelab perlu melakukan pemotongan gaji pemain sehingga 50 peratus. Saya faham situasi ini kerana ia dihadapi di seluruh dunia, jadi terima sahaja apa yang sudah dibincangkan oleh FAT dan FIFA," katanya.
"Pemotongan gaji telah dibuat sejak bulan lalu. Saya dan kelab ada berbincang mengenai pemotongan gaji sebanyak 30 peratus selama tiga bulan. Kami juga ada berbincang tentang insentif jika pasukan dapat menduduki kelompok tiga terbaik dalam liga, pemotongan sebelum ini akan diberikan semula," tambah penggempur BG Pathum United, Norshahrul.
Bagaimanapun, seorang lagi pemain dari Malaysia, Zafuan Azeman, terpaksa meninggalkan Thailand selepas kelab divisyen 3, Angthong FC, menamatkan kontraknya minggu lalu susulan faktor kewangan terjejas ekoran COVID-19.
#COVID-19
#Dominic Tan
#faktor kewangan
#FAT
#gaji
#harimau Malaya
#Liga Thailand
#Norshahrul Idlan Talaha
#pandemik
#Persatuan Bolasepak Thailand
#Police Tero FC
#potong gaji
#tamat kontrak
#tunggakan
#wabak
#Zafuan Azeman