Dollah masih yakin dapat atasi defisit 2-0 di Bukit Jalil
Bernama
Disember 17, 2014 07:53 MYT
Disember 17, 2014 07:53 MYT
Jurulatih skuad kebangsaan Harimau Malaya, Dollah Salleh tetap bernada yakin dapat menebus kekecewaan terhadap juara hatrik Thailand pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Biarpun ketinggalan 2-0 pada final pertama di sini, malam ini, beliau berkata bermain di hadapan ribuan penyokong Malaysia di gelanggang sendiri akan menyuntik semangat anak buahnya untuk mengatasi defisit serta mengulangi kejayaan 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal.
"Kami masih ada peluang 90 minit lagi. Walaupun bukan mudah pada aksi kedua selepas kalah 2-0 tetapi dalam bola sepak apa pun boleh berlaku.
"Saya yakin kami boleh melakukan dengan lebih baik di Bukit Jalil," katanya kepada pemberita di sini.
Mengenai perlawanan malam ini, katanya pemberian penalti kepada Thailand oleh pengadil Uzbekistan, Kovalenko Valentin, pada pertengahan babak kedua perlawanan menjadi titik malang bagi pemain yang cuba sebaik mungkin untuk mencari gol penyamaan.
"Penalti yang tidak dijangka itu telah merosakkan semua perancangan," kata Dollah yang memuji barisan muda Thailand yang bertindak cemerlang.
Berkongsi pandangan yang sama adalah kapten pasukan Muhammad Shukor Adan yang menyifatkan penalti yang diraih Thailand pada pertengahan babak kedua perlawanan telah mengubah tempo perlawanan.
Selain itu, beliau mengakui keupayaan skuad 'Gajah Perang' itu menguasai bahagian tengah turut menjadi punca kegagalan mereka mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri.
"Kita nak menyalahkan sesiapapun tidak berguna juga kerana perkara tersebut (penalti) dah berlaku. Apapun, kita kena fokus pada final kedua.
"Defisit dua jaringan nampak agak mustahil namun kita akan berjuang habis-habisan bagi baki 90 minit lagi di Bukit Jalil," kata Muhammad Shukor yang turut meminta maaf kepada penyokong di atas kekalahan tersebut.
Sementara itu, ketua jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang, memuji anak buahnya yang menampilkan aksi hebat di hadapan ribuan penyokong mereka serta turut memuji skuad Harimau Malaya kerana memberi saingan yang sengit.
"Kami lebih bermain rentak bertahan dan kadang kala melakukan serangan tetapi yang penting sekali pengadil melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan," kata bekas pemain antarabangsa Thailand itu.
Katanya beliau tidak gentar berdepan dengan ribuan penyokong Malaysia pada aksi final kedua nanti dan yakin pasukannya akan merangkul kejuaraan dwitahunan itu buat kali keempat selepas 1996, 2000 dan 2002.