Dollah gesa Tok Gajah berjuang habis-habisan
Astro Arena
April 15, 2019 05:18 MYT
April 15, 2019 05:18 MYT
KEMBALINYA orang besi Pahang, Dickson Nwakaeme, dalam kesebelasan utama ketika mereka menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Shah Alam, pada Isnin malam, tepat pada waktunya tatkala skuad Tok Gajah itu memburu takhta Liga Super.
Selepas sembilan perlawanan, Pahang dibezakan hanya dua mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Senario berupaya berubah sekiranya Nwakaeme tidak berada dalam kesebelasan yang menyaksikan pelawat terlebih dahulu ketinggalan di tangan PKNS.
Berikutan jaringan Chan Vathanaka pada minit ke-13, Nwakaeme menyamakan kedudukan hanya 11 minit kemudian dengan bersandarkan kelebihan fizikalnya.
Khidmat penyerang kelahiran Nigeria itu terbatas susulan isu kecergasan dalam beberapa aksi liga sebelum ini.
"Nampaknya kami sudah kembali mendapat rentak sebenar. Dengan kehadiran semula Dickson, nampak berbeza corak permainan kami.
"Kami dapat menjaringkan gol malam ini tetapi apabila memasuki minit ke-60 ke atas, saya mula berasa risau.
"Tetapi saya tetap mempunyai keyakinan dengan barisan pemain berikutan corak permainan yang lebih mantap dalam babak kedua," jelas pengendalinya, Dollah Salleh.
Isu perebutan tahkta Liga Super dengan JDT juga bergantung kepada beberapa faktor selain rekod tanpa kalah mereka.
Sebelum pertemuan dengan Harimau Selatan pada 28 April ini, Pahang perlu berkunjung ke Perak terlebih dahulu.
"Saya tidak mahu dengar lagi kami menyesali keputusan seperti ketika bertemu PJ City FC, minggu lalu.
"Saya mahu selepas ini pemain bermain habis-habisan supaya mata kami tidak ketinggalan jauh dengan JDT," tambahnya.
#bola sepak
#Chan Vathanaka
#Dickson Nwakaeme
#Dollah Salleh
#Liga Super
#Pahang
#skuad Tok Gajah
#takhta Liga Super