Doa buat Khalid Ali

Sinar Harian
April 24, 2023 08:40 MYT
Khalid mahu meneruskan kehidupannya dengan cara baharu yang lebih bermakna setelah disahkan menghidap kanser paru-paru pada awal Ramadan. - Foto fail/Stadium Astro
KISAH legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang kini menghidap penyakit kanser paru-paru mendapat perhatian dan simpati ramai pihak.
Masing-masing mendoakan kesembuhan buat bekas pemain Harimau Malaya itu dan berharap beliau terus cekal dalam menghadapi ujian daripada ALLAH SWT.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin antara individu yang menitipkan doa buat Khalid ketika beliau menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.
“Ketika mengerjakan umrah bersama anak saya, Nur Badrisyiah, saya sempat mendoakan buat ahli keluarga, sahabat handai, rakan media dan seluruh bekas atlet negara.
“Sepanjang berada di Mekah, saya mengambil kesempatan mendoakan kita semua diberikan kesejahteraan, dipelihara sihat, murah rezeki dan dilindungi ALLAH SWT.
“Doa khas juga saya titipkan buat legenda bola sepak Malaysia, saudara Khalid yang kini diuji dengan masalah kesihatan akibat penyakit kanser yang dihadapinya.
“Ada juga rakan-rakan bekas atlet negara yang mengirimkan salam kepada Rasulullah SAW.
“Alhamdulillah, itu pun telah saya tunaikan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan Khalid mahu meneruskan kehidupannya dengan cara baharu yang lebih bermakna setelah disahkan menghidap kanser paru-paru pada awal Ramadan.
Beliau yang pernah mencipta nama bersama Selangor, menerima ujian daripada ALLAH itu dengan reda dan mahu menjalani rutin harian tanpa dibelenggu bimbang memikirkan penyakitnya.
Dalam masa sama Noorul berkongsi pengalaman mengunjungi ke Raudhah dan Makam Nabi Muhammad SAW di Madinah.
“Sememangnya menjadi impian setiap jemaah haji atau umrah, pasti ingin mengunjungi ke Raudhah dan Makam Nabi Muhammad SAW di Madinah.
“Bagaimanapun, tidak semua orang bernasib baik berjaya merebut peluang keemasan itu kerana ada jemaah tidak mendapat kebenaran untuk masuk ke Raudhah.
“Saya bersyukur apabila dapat memasuki Raudhah sebanyak tiga kali, yang merupakan kenangan terindah sepanjang mengerjakan umrah,” katanya yang mengakui keterujaan melihat umat Islam bersolat Tarawih dalam hujan lebat di Dataran Masjid Nabawi pada 29 Ramadan.
Berkongsi pengalaman beraya di Madinah, Noorul berkata, umat Islam di Arab Saudi beraya awal sehari iaitu pada, Jumaat.
“Saya bersyukur dapat bersama umat Islam negara lain berpeluang menunaikan solat di dalam Masjid Nabawi.
“Masjid juga penuh dengan masyarakat Islam dari pelbagai negara. Di sini jemaah melimpah sampai ke jalan raya dari solat subuh hingga solat Aidilfitri,” katanya.
Tambah Noorul lagi, biarpun sambutan 1 Syawal di Madinah sederhana, namun kemeriahan dirasai pekarangan luar dan dalam masjid setiap masa.
“Bagi solat fardu kena datang awal dua jam atau sejam awal untuk dapat solat dalam masjid.
“Kali ini kita dapat dua khutbah, khutbah raya dan khutbah Jumaat, saya rasa bertuah berpeluang beraya di Madinah.
“Di Madinah, berpeluang ziarah semua masjid dan tempat Perang Uhud,” katanya yang memaklumkan cuaca di Madinah, 37 darjah Celcius panas kering, namun pada malam suhu sejuk sehingga 22 darjah Celcius serta angin sejuk.
Berkongsi pengalaman berbuka puasa di Madinah, Noorul berkata, malam 27 hingga 29 Ramadan merupakan detik dinanti umat Islam.
“Tiga malam terakhir Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya jemaah di sini. Masjid sentiasa penuh ada yang datang sejak Zohor sampai berbuka serta Tarawih.
“Waktu berbuka sememangnya penuh dengan makanan dalam pekat (roti, kurma, yogurt, air mineral) manakala air zam zam diagih dalam masjid.
“Kiri kanan masyarakat Islam dari pelbagai negara duduk sebelah menyebelah kita, tidak kira warna kulit atau bangsa, semuanya adalah umat Nabi Muhammad SAW,” katanya. - Sinar Harian
#Khalid Ali #kanser paru-paru #Yakeb #Noorul Ariffin
;