Djokovic tundukkan Federer untuk muncul juara Kejohanan Tenis Wimbledon

Astro Arena
Julai 13, 2015 10:16 MYT
Novak Djokovic cemerlang menempah nama di kalangan lapan terbaik dunia yang kini memiliki sembilan gelaran Grand Slam dalam kariernya. - Foto AFP
Novak Djokovic cemerlang menempah nama di kalangan lapan terbaik dunia yang kini memiliki sembilan gelaran Grand Slam dalam kariernya apabila menumpaskan seteru utama Roger Federer di pentas akhir Kejohanan Tenis Wimbledon.
Pertemuan Djokovic dan Federer bagaikan ulangan final tahun lalu apabila sekali lagi ditemukan di gelanggang keramat kota London itu.
Pertarungan set pertama cukup sengit sehingga terpaksa diheret ke penentuan tie break untuk Djokovic menang 7-6.
Federer bangkit di set kedua 7-6 bagi menyukarkan lagi hajat Djokovic meraih gelaran ketiganya di Wimbledon.
Walaupun Federer terus pamer corak permainan agresif, namun pemain Serbia itu tidak mudah terkesan malah terus perkemas gerak buat memastikan set ketiga miliknya 6-4.
Pukulan forehand deras Djokovic sudah cukup buat menokhtahkah kemenangan di set keempat miliknya 6-3 dalam perlawanan yang mengambil masa selama 2 jam 56 minit itu.
Dkokovic juga merupakan pemain lelaki pertama yang berjaya mengekalkan gelaran di Wimbledon dengan kali terakhir rekod itu diraih Roger Federer pada 2007.
#London #Novak Djokovic #Roger Federer #tenis #Wimbledon
;