Djokovic teruskan kemaraan Terbuka Madrid selepas mudah atasi Monfils
Bernama
Mei 4, 2022 13:29 MYT
Mei 4, 2022 13:29 MYT
MADRID: Pilihan pertama, Novak Djokovic tidak banyak menghadapi kesukaran ketika beraksi dalam hujan untuk mara ke saingan seterusnya pada kejohanan Tenis Terbuka Mutua Madrid, apabila berjaya menumpaskan Gael Monfils dari Perancis, 6-3, 6-2.
Kemenangan itu meneruskan penguasaan mutlak Dojokavic ke atas Monfils, yang ditundukkannya pada semua 18 pertembungan mereka di gelanggang seumpama, lapor Xinhua.
Pemain Serbia itu selepas ini dijadual bertemu dengan pemenang saingan antara Andy Murray dengan Denis Shapovalov.
Sementara itu, pilihan keenam kejohanan, Andrey Rublev, berhempas pulas selama dua jam 19 minit dalam aksi tiga set sebelum dapat menjinakkan pemain wild card Britain, Jack Draper.
Draper bermula cemerlang untuk menguasai set pertama 6-2, sebelum Rublev bangkit merampas set kedua 6-4 dan berdepan detik penuh mendebarkan di set penentuan untuk menang 7-5.
Marin Calic juga memerlukan tiga set dan dua jam lebih untuk menamatkan cabaran pemain tenis Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas 6-3, 3-6, 6-4.
Roberto Bautista Agut pula melangkah mudah mengatasi Jenson Brooksby dari Amerika Syarikat 6-0, 6-2 manakala Miomir Kecmanovic menundukkan Alexander Bublik 6-4, 7-5.
Pilihan ke-12, Hubert Hurkacz mara ke saingan seterusnya selepas bergelut mengatasi pemain Bolivia, Hugo Dellien, 7-5, 6-7 (11) dan 6-3.
Pada pusingan kempat wanita, Jul Teichmann dari Switzerland mencipta kejutan ke atas pilihan ke-16, Elena Rybakina 6-1, 6-3.
Pilihan ke-12, Jessica Pegula menewaskan Bianca Andreescu 7-5, 6-1 dan Sara Sorribes menghidupkan harapan Sepanyol apabila menang 6-4, 1-6, 6-3 ke atas Daria Kasatkina.
Langkah Emma Raducanu dalam Terbuka Madrid, terhenti apabila pilihan ke enam tewas di tangan pemain Ukraine, Anhelina Kalinina, 6-2, 2-6, 6-4.
-- BERNAMA