Djokovic menang jelajah akhir ATP ketujuh di Itali

Bernama
November 20, 2023 13:20 MYT
Djokovic mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang Roger Federer yang memenangi enam gelaran dalam kejohanan itu. - Foto AP
ROM: Novak Djokovic memenangi kejuaraan Jelajah Akhir ATP ketujuhnya dengan penuh bergaya, menewaskan pemain tuan rumah Jannik Sinner 6-3, 6-3 di Turin, Itali pada Ahad.
Djokovic, 36, mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang Roger Federer yang memenangi enam gelaran dalam kejohanan itu.
Kemenangan bintang dari Serbia itu turut membolehkannya meraih "Big Title" ke-71nya, termasuk kejuaraan Grand Slam, Jelajah Akhir ATP dan kejohanan ATP Masters 1000, lapor Xinhua.
Sinner yang mengalahkan Djokovic dalam aksi peringkat kumpulan sekali lagi tampil berdepan Djokovic yang lebih agresif, memenangi 20 daripada 22 mata perlawanan untuk menang set pertama hanya dalam masa 38 minit.
Pada set kedua, Djokovic tidak memberi sebarang peluang kepada Sinner untuk membuat kebangkitan semula untuk menang perlawanan itu.
Rekod Djokovic dalam pusingan kejuaraan Jelajah Akhir ATP kini berada pada kedudukan 7-2, dengan trofi pada 2008, 2010-11, 2014-15, dan 2022-23.
-- BERNAMA
#Novak Djokovic #Jannik Sinner #Jelajah ATP #tenis
;