Djokovic kecewa dengan gelanggang di Belgium
Astro Awani
Februari 1, 2013 18:17 MYT
Februari 1, 2013 18:17 MYT
Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan permukaan gelanggang perlawanan di Belgium.
Bintang Serbia itu menyuarakan rasa tidak puas hatinya, selepas sesi latihan di gelanggang itu.
“Saya bukannya mahu mencari alasan sebelum saya mula bertanding tetapi saya cuma dapat menjalani satu sesi latihan sahaja hari ni dan gelanggang ini ternyata gelanggang paling teruk yang pernah saya bermain,” kata Djokovic.
Tambahnya lagi, perkara itu tidak harus timbul kerana Belgium mempunyai reputasi yang baik selaku tuan rumah.
Djokovic berharap, keadaan gelanggang dapat diperbaiki segera sebelum pertemuan Belgium-Serbia dalam Piala Davis.
Gelanggang tanah liat di Cheleroi, telah diturap di atas lantai parket dan ia dilihat sebagai faktor yang menyebabkan permukaan yang kurang sempurna.