Djokovic diusir, siapa pilihan rangkul trofi Terbuka Australia 2022?

Syafik Shukri Jalil
Januari 16, 2022 18:21 MYT
Ketiga-tiga bintang tenis ini disebut-sebut sebagai antara atlet yang mampu beraksi cemerlang seterusnya merangkul kejuaraan Terbuka Australia 2022. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Peminat sukan tenis dan penyokong tegar Novak Djokovic terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan Australia yang menolak permohonannya untuk menarik semula pembatalan visanya buat kali kedua hari ini.
Bukan sahaja akan diusir keluar dari Australia malah akan menyekat peluang Djokovic untuk beraksi dan merangkul trofi untuk edisi kali ini.
Lebih malang apabila Djokovic juga tidak akan dibenarkan memasuki Australia untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Kejohanan kali ini merupakan aksi penting buat pemain kelahiran Serbia itu ditambah dengan pengalamannya yang berjaya mencipta kejuaraan sebanyak sembilan kali di sana, jauh di depan jika dibandingkan dengan mana-mana bintang tenis lain.
Ini kerana Djokovic berada di kedudukan yang sama dengan Roger Federer dan Rafael Nadal dengan 20 trofi Grand Slam, pastinya Djokovic punya cita-cita untuk terus unggul berada di hadapan meninggalkan dua seteru utamanya itu.
BACA: Terbuka Australia 2022: Rayuan visa Djokovic ditolak, akan diusir keluar dari Australia
BACA: Mahkamah Australia dengar rayuan Djokovic
Dengan pengusiran pemain berusia 34 tahun itu, beberapa nama disebut-sebut akan mampu merampas takhta kejuaraan seperti Daniil Medvedev, Alexander Zverev dan Rafael Nadal.
Medvedev yang mula beraksi secara profesional pada 2015 merupakan antara ‘favorite’ selepas berjaya memenangi trofi Grand Slam pertamanya pada tahun di Terbuka Amerika Syarikat 2021.
Kemenangan Medvedev pada edisi itu juga memusnahkan harapan Djokovic untuk merangkul Calendar Slam dan seterusnya menjadi satu-satunya bintang tenis yang berjaya berbuat demikian selepas Steffi Graf pada 1988.
Pada Terbuka Australia 2021, Djokovic berjaya menang straight set ke atas Medvedev pada aksi final dan nyata pertemuan akhir di Terbuka Amerika Syarikat tahun sama ibarat dendam buat bintang Rusia itu untuk menjinakkan Djokovic.
BACA: Terbuka Australia 2022: Visa Djokovic sekali lagi dibatalkan
BACA: Djokovic ancaman kepada umum - Menteri Imigresen Australia
BACA: Terbuka Australia 2022: Pembatalan visa Djokovic ditarik semula
Seterusnya tumpuan diberikan kepada Zverev, 24, yang juga berjaya menggagalkan misi Djokovic meraih Golden Slam tahun lalu menerusi aksi separuh akhir di temasya Olimpik Tokyo.
Kemenangan pada set kedua dan ketiga dengan 6-3 dan 6-1 itu nyata memberi tamparan hebat kepada Djokovic seterusnya menyaksikan Zverev memenangi pingat emas pertamanya di temasya Olimpik selepas berjaya mengetepikan Karen Khachanov dari Rusia dengan 6-3 dan 6-1.
Bintang Jerman ini juga pernah beraksi di gelanggang akhir Grand Slam menerusi Terbuka Amerika Syarikat 2020 namun tewas kepada bintang muda Austria, Dominic Thiem.
BACA: Djokovic dilarang memasuki Australia
Sementara, Nadal merupakan antara satu-satunya senior yang akan beraksi menentang bintang-bintang muda hebat lain.
Pernah bertemu dengan Djokovic sebanyak 58 kali sepanjang kariernya, namun ia bukan bererti Nadal akan menempuh laluan mudah kerana umum mengetahui gelanggang di Melbourne Park bukan ‘makanan’ bintang Sepanyol ini yang lebih selesa beraksi di Terbuka Perancis.
Ini terbukti dengan dominasi mudah Nadal di gelanggang Roland Garros dengan 13 trofi setakat ini (kali terakhir pada 2020) berbanding hanya satu di Terbuka Australia edisi 2009.
Selain itu, siapa mungkin lupa aksi hebatnya di pentas akhir Terbuka Australia pada 2017 menentang bintang Federer.
Biarpun tewas, Nadal tetap berjaya memberi saingan sengit kepada bintang Switzerland tersebut dan mungkin rezeki berpihak kepadanya untuk edisi kali ini.
Apa pun, pada akhirnya kesemua atlet yang bertanding nyata memiliki peluang cerah untuk merangkul trofi kejuaraan atau mungkin untuk edisi kali ini kita akan menyaksikan juara yang baru.
Kita tunggu dan lihat!
#Novak Djokovic #Terbuka Australia 2022 #Rafael Nadal #Daniil Medvedev
;