Djokovic dapat pengecualian vaksin kerana disahkan positif COVID-19 pada 16 Disember

Agensi
Januari 8, 2022 17:44 MYT
Novak Djokovic mendapat pengecualian vaksin untuk memasuki Australia selepas disahkan positif COVID-19 pada 16 Disember, kata peguamnya. - Gambar fail/REUTERS
BINTANG tenis Novak Djokovic mendapat pengecualian vaksin untuk memasuki Australia selepas disahkan positif COVID-19 pada 16 Disember, kata peguamnya dalam dokumen mahkamah, menurut laporan BBC.
Sebelum ini, Djokovic dinafikan kemasukan ke Australia selepas mendarat di Melbourne minggu ini untuk beraksi di Terbuka Australia.
Pemain tenis nombor satu dunia itu kini berada di pusat tahanan imigresen menjelang kes mahkamah pada Isnin nanti.
Kesnya menyebabkan bantahan besar di Australia dan di seluruh dunia.
Djokovic, 34, yang sebelum ini mengatakan dia menentang vaksinasi telah diberikan pengecualian untuk bersaing dalam kejohanan itu - keputusan yang menimbulkan kemarahan rakyat Australia.
Begitupun, warga Serbia itu secara tiba-tiba dilarang memasuki Australia sebaik mendarat.
Pada hari, pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata pemain itu "gagal memberikan bukti yang sesuai" di Lapangan Terbang Melbourne kerana disahkan positif sebelum ini bukanlah alasan yang kukuh untuk masuk ke negara itu tanpa vaksinasi.
Peguam Djokovic berkata pemain itu telah diberikan visa sementara untuk memasuki negara itu dan diberikan "pengecualian perubatan daripada vaksinasi COVID-19" oleh Australia Tennis kerana jangkitannya baru-baru ini.
Begitupun, tiada pengumuman sebelum ini mengenai pemain itu disahkan positif.
Pengecualian Djokovic diberikan oleh dua panel perubatan bebas yang dianjurkan oleh Australia Tennis, badan yang mengendalikan acara itu, dan negeri Victoria.
#Novak Djokovic #tenis #COVID-19 #Melbourne #pengecualian vaksin #Australia
;