Djokovic ancaman kepada umum - Menteri Imigresen Australia

Astro Awani
Januari 15, 2022 11:36 MYT
Ketika ini, Djokovic dilaporkan sekali lagi ditahan di Australia selepas pihak berkuasa menarik kembali visa miliknya - Foto fail/REUTERS
MELBOURNE: Selepas visa Novak Djokovic ditarik buat kali kedua, kerajaan Australia pada Sabtu melabelkan pemain tenis nombor satu dunia itu sebagai ancaman kepada umum.
Memetik laporan media antarabangsa, Menteri Imigresen, Alex Hawke mendakwa kehadiran pemain Serbia berusia 34 tahun itu di Australia boleh mencetuskan "kekacauan awam" dan "menambah sentimen anti-vaksin".
"Saya menganggap bahawa kehadiran Djokovic di Australia boleh membawa kepada peningkatan dalam sentimen antivaksin dalam kalangan komuniti Australia.
"Ini berpotensi membawa kepada peningkatan pergolakan awam seperti yang pernah dialami di Australia dengan perhimpunan dan protes yang mungkin menjadi punca kepada penularan dalam komuniti.
"Djokovic adalah seorang yang mempunyai pengaruh dan status.
“Mengambil kira kelakuan Djokovic selepas dijangkiti COVID-19, pandangannya yang dinyatakan secara terbuka serta statusnya yang tidak divaksinasi, saya menganggap bahawa keberadaan dia di Australia mungkin menggalakkan orang lain untuk mengabaikan atau bertindak tidak konsisten dengan nasihat kesihatan awam dan dasar di Australia," kata Hawke memetik laporan The Guardian, pada Sabtu.
Jelas Hawke lagi, akibat daripada tindakan pembatalan visa juara sembilan kali itu juga adalah "penting".
Tambahnya, ia mungkin menjejaskan peluang kepada Djokovic diberikan visa untuk memasuki Australia pada masa hadapan.
"Jika penggantungan tiga tahun itu dikekalkan terhadap Djokovic, dia akan berusia 37 atau 38 tahun sebelum dibenarkan kembali ke Australia untuk bertanding dalam kejohanan yang dimenangi sembilan kali olehnya," ujar Hawke.
Ketika ini, Djokovic dilaporkan sekali lagi ditahan di Australia selepas pihak berkuasa menarik kembali visa miliknya.
Dokumen mahkamah menunjukkan Djokovic ditahan dekat Melbourne ketika rayuan terhadap pengusirannya sedang didengari.
Terbuka Australia dijadual bermula pada 17 Januari hingga 30 Januari ini.
#Novak Djokovic #Djokovic positif COVID-19 #tenis #ancaman umum
;