Disangka ayam, Indonesia ubah rekaan maskot Sukan Asia 2018

Agensi
Januari 7, 2016 22:11 MYT
Rekaan awal maskot SUkan Asia 2018 ini menerima reaksi jenaka oleh komuniti internet negara itu. - Gambar fail
Indonesia pada Khamis mengumumkan akan membuat perubahan kepada maskot Sukan Asia 2018, selepas komuniti internet negara itu mengkritik imej maskot berkenaan sebagai ayam sedangkan ia sepatutnya mengangkat inspirasi burung cenderawasih.
Kementerian Pemuda dan Olahraga (Belia dan Sukan) republik itu pada minggu lalu memperkenalkan maskot bernama Drawa itu untuk digunakan dalam kejohanan sukan yang bakal dianjurkan di Indonesia.
Cenderawasih merupakan sejenis burung eksotik yang cantik dan hanya ditemui di wilayah terpencil di Papua dekat timur Indonesia dan juga di Australia.
Begitupun, rekaan maskot itu segera menjadi bahan jenaka komuniti internet, yang mengatakan adalah mustahil untuk membezakan maskot itu dengan ayam domestik biasa memandangkan ciri-ciri seekor cenderawasih sudah tertutup dengan pakaian sukan.
“Ayam menjadi maskot Sukan Asia? Ayam bukan haiwan ikonik Indonesia,” ujar Devi Eko Wibowo melalui Twitter.
“Maskot Sukan Asia 2018 ialah ayam jantan,” kata Vikry Pristian yang turut mendakwa rupa maskot itu juga boleh disalah erti sebagai penguin atau dolfin.
Jurucakap kementerian tersebut, Gatot Dewa Broto berkata bahawa maskot itu tidak akan ditukar daripada inspirasi asalnya iaitu cenderawasih namun perubahan seni rekaan akan dibuat.
Perubahan tersebut akan dimuktamadkan dalam tempoh dua atau empat bulan.
Isu maskot tersebut adalah masalah terkini yang dihadapi Indonesia sebagai tuan rumah kejohanan. Majlis Olimpik Asia bulan lalu telah melahirkan kebimbangan tentang persiapan yang perlahan khususnya pembinaan perkampungan atlet.
Penganjuran Sukan Asia 2018 digalas Indonesia selepas Vietnam menolak untuk menjadi tuan rumah.
Kejohanan bermula pada 18 Ogos 2018.
#ayam jantan #burung cenderawasih #Drawa #Indonesia #maskot #Sukan Asia 2018
;