Diplomat India boikot upacara Olimpik Musim Sejuk Beijing
Bernama
Februari 4, 2022 12:03 MYT
Februari 4, 2022 12:03 MYT
NEW DELHI: Diplomat kanan India akan memboikot upacara pembukaan dan penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing kerana acara itu "dipolitikkan", menurut Kementerian Luar India pada Khamis.
"Kuasa usaha Kedutaan India di Beijing tidak akan menghadiri majlis perasmian dan penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing," kata jurucakap Kementerian Luar Arindam Bagchi dalam satu taklimat media.
Beliau menjawab persoalan mengenai seorang askar China yang terlibat dalam pertempuran dengan India di sempadan Lembah Galwan dipilih sebagai pembawa obor pada temasya itu.
Akhbar tempatan China Global Times sebelum ini melaporkan bahawa Qi Fabao, seorang komander rejimen tentera mengalami kecederaan di kepala dalam pertempuran pada Jun 2020, telah dipilih sebagai pembawa obor ketika larian obor temasya sukan itu pada Rabu.
Bagchi berkata China telah "memilih untuk mempolitikkan" acara itu yang bermula pada Jumaat.
Meskipun India tidak memboikot Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, penyertaannya amat terhad dengan peluncur ski Kashmir, Arif Khan merupakan satu-satunya atlet mewakili India pada temasya sukan itu.
-- BERNAMA