Dion Cools nyatakan minat untuk bersama JDT

Bernama
Jun 27, 2022 04:20 MYT
JDT berkemungkinan hanya akan mendapatkan khidmat Cools pada hujung tahun ini atau tahun depan. - Foto fail/BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Pemain pertahanan negara Dion Cools telah menyatakan minat untuk bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), menurut Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, Tunku Ismail bertitah JDT berkemungkinan hanya akan mendapatkan khidmat Cools pada hujung tahun ini atau tahun depan mengambil kira faktor perbelanjaan untuk membawa pemain kelab Belgium, Zulte Waregem itu.
"Dia (Cools) nak main di sini dan kalau boleh nak tandatangan pada musim perpindahan ini tetapi itu susah sikit untuk kelab kerana berkenaan dengan bajet dan kita terpaksa bayar pampasan kepada kelab tersebut kerana dia masih ada kontrak di sana.
"Saya cakap saya boleh ambil dia tetapi kemungkinan pada hujung tahun ataupun untuk tahun depan," titah baginda ketika berkenan menghadiri sesi penyokong JDT bersama Pemangku Raja Johor di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Tunku Ismail turut memaklumkan JDT juga akan mendapatkan khidmat bekas pemain Swansea City Jordi Amat bagi memperkuat bahagian pertahanan JDT.
Menurut baginda pemain berdarah Indonesia itu mempunyai kualiti dan pengalaman luas bermain di La Liga dan Liga Perdana Inggeris.
Terdahulu, bekas pertahanan KL City Daniel Ting telah diumum secara rasmi sebagai pemain terbaharu JDT.
Sementara itu, Tunku Ismail bertitah akan terus menjaga JDT seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
"Sepuluh tahun saya ingat nak berehatlah sikit tetapi saya menjunjung titah Tuanku. Tuanku nak suruh saya jadi KSM - kerja sampai mati, bermakna sampai bila-bilalah saya akan ada dalam Kelab Bola Sepak JDT.
"Tuanku bertitah kepada saya JDT adalah awak, awak adalah JDT, awak tak boleh tinggalkan JDT. Awak yang melahirkan JDT macam mana atuk moyang kita melahirkan Johor begitu juga awak dengan JDT. Jadi saya terpaksa menjaga Johor dan terpaksa menjaga JDT selama-lamanya," titah Tunku Ismail.
Pada 9 Jun, Tunku Ismail mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya dengan menyatakan keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmen yang lain.
Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah supaya Tunku Ismail terus menerajui dan mengendalikan pasukan bola sepak JDT.
Tunku Ismail diumumkan secara rasmi sebagai pemilik JDT pada Januari 2016.
Berhubung perancangan nilai komersial JDT pula, Pemangku Raja Johor bertitah Skuad Harimau Selatan itu bakal menerima pelaburan bernilai Euro $8 juta dalam tempoh tiga tahun.
"Ini adalah syarikat dari luar negara, mereka ingin melabur untuk tempoh tiga tahun dalam JDT... namun, perkara ini kami tidak boleh dedahkan lagi (secara terperinci).
"Ini menunjukkan satu pengiktirafan yang tinggi, kami sudah berkolaborasi dengan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Nike... Nike akan sambung kontrak mereka... banyak pihak penaja buat penilaian rapi dan percaya kepada potensi kami sebagai kelab," titah baginda.
-- BERNAMA
#JDT #Tunku Ismail #dion cools #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;