Dilema Zainal digantung tak bertali oleh FAS

Astro Arena
Januari 4, 2017 22:20 MYT
Bekas jurulatih pasukan bola sepak Selangor Zainal Abidin Hassan ketika sidang akhbar mengenai status jawatannya itu di kediamannya hari ini. - Foto Bernama
"Ibarat digantung tidak bertali". Demikian situasi yang berlaku ke atas bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan, apabila masih tidak menerima surat rasmi pemecatan jawatan serta pampasan baki kontraknya.
Zainal ketika ditemui dalam sidang media melahirkan rasa kecewa terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang dianggap tidak profesional.
Selepas dipecat serta-merta pada Ogos lalu, Zainal masih tidak mendapat surat rasmi pemecatannya, sekali gus menyukarkan urusan untuk menerima sebarang tawaran daripada pasukan lain.
Pampasan penuh baki kontraknya yang tamat pada November 2017 juga belum diterima, sebaliknya FAS hanya membayar gaji bulanan sehingga Oktober tahun lalu sahaja.
"Saya terikat dan saya tak boleh bergerak satu langkah ke hadapan.
"Saya terima pemecatan saya kerana setiap jurulatih tahu perkara ini akan berlaku juga satu hari nanti.
"Ini pertama kali berlaku ke atas saya.
"Saya terima sebagai seorang yang profesional dan saya harap balasan yang diterima juga adalah profesional," katanya.
Bagaimanapun, perbincangan telah diadakan di antara Zainal dan bekas pengurus pasukan Selangor, Amiruddin Shaari, Isnin lalu dan memberi jaminan masalah berkenaan akan diselesaikan minggu hadapan.
"Dua hari lepas, saya dapat bersua dengan Amir dan dia berjanji akan membincangkan kes saya ini dengan presiden FAS (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)."
#Azmin Ali #FAS #Persatuan Bola Sepak Selangor #Zainal Abidin Hassan
;