Dilanda kecederaan kaki, Chong Wei tarik diri dari Terbuka Australia

Astro Arena
Jun 8, 2016 08:38 MYT
Tegas Frost, tiada lagi sebarang kejohanan buat Chong Wei selepas ini kerana dia mahu Chong Wei fokus terhadap sesi latihan sahaja. - Gambar fail
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri dari Terbuka Australia bagi mengelak sebarang risiko yang lebih serius selepas mengalami kecederaan kecil pada kaki kirinya.
Bagaimanapun menurut Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, tiada apa yang perlu dirisaukan terhadap juara Terbuka Indonesia itu sambil menyifatkan kecederaan yang dialaminya tidak serius.
“Kami memandang dengan serius, disebabkan itu kami ambil keputusan menarik diri. Kami tidak mahu mengeruhkan keadaan bagaimanapun ia bukan kecederaan yang serius dan tidak mahu mengambil sebarang risiko. dia perlukan rehat ketika ini," kata Frost.
Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga perlu diambil sebaiknya kerana tidak mahu berdepan risiko yang lebih buruk menjelang Sukan Olimpik Rio Ogos depan.
Jelas Frost, sekiranya Chong Wei tetap meneruskan misi di Terbuka Australia, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan penting buatnya menarik diri terlebih awal.
Tegas Frost, tiada lagi sebarang kejohanan buat Chong Wei selepas ini kerana dia mahu Chong Wei fokus terhadap sesi latihan sahaja sehingga bermula temasya Olimpik Rio yang berbaki dua bulan sahaja lagi.
#badminton #indonesia open #Lee Chong Wei #morten frost
;