Dikritik barat, CEO ONE Championship tetap yakin pada bakat Sage Northcutt

Hilmi Ismail
Jun 21, 2019 12:18 MYT
Mampukah Northcutt kembali bangkit dari kekalahan teruk yang dialaminya? - Foto Instagram/@supersagenorthcutt
PADA penghujung tahun 2018, peminat sukan seni bela diri campuran (MMA) dikejutkan dengan berita penghijrahan tiga petarung berpindah dari UFC ke ONE Championship.
Demetrious Johnson, Eddie Alvarez dan Sage Northcutt adalah tiga nama besar yang memilih untuk meneruskan kerjaya di ONE Championship yang berpengkalan di Singapura.
Johnson berjaya meraih kemenangan pada perlawanan pertamanya di pentas ONE Championship, tetapi tidak bagi Alvarez dan Northcutt.
Kedua-kedua mereka tewas dengan cara TKO pada pusingan pertama, namun kekalahan Northcutt lebih mendapat perhatian dari komuniti MMA.
Ini kerana Northcutt kalah teruk dan terpaksa menjalani pembedahan selama 9 jam selepas tulang dimukanya retak akibat tumbukan padu dari lawannya, Cosmo Alexandre.
Ramai yang mengkritik ONE Championship kerana memilih Alexandre, seorang petarung 'kickboxing' berpengalaman untuk berdepan Northcutt yang dianggap masih baru.
Kritikan-kritikan tersebut turut datang dari pengulas UFC terkenal, Joe Rogan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong bagaimanapun menyangkal pandangan tersebut.
"Semua kata-kata negatif dari Amerika yang mengatakan ONE memilih lawan yang sukar buat Northcutt adalah tidak benar sama sekali. Cosmo adalah seorang petarung yang hebat tetapi rekod MMA-nya hanya 7-1," kata Sityodtong seperti yang dilaporkan MMAjunkie.com.
"Dan sekali lagi, ia juga adalah kerana kami mempunyai 140 juara dunia (dari pelbagai disiplin sukan tempur) di ONE Championship. Itu ramai yang tidak sedar. Senarai petarung di sini sangat berbakat, anda datang dari organisasi mana sekali pun, anda tidak boleh masuk (ke ONE Championship) dan berharap untuk terus mendominasi," tegas Sityodtong.
Walaupun kalah teruk, Sityodtong masih optimis dengan masa depan Northcutt di ONE Championship.
"Perancangan saya masih sama. Saya benar-benar percaya pada bakat yang ada pada Northcutt. Dia memang ada potensi untuk menjadi juara bagi tiga sukan tempur," tambah Sityodtong.
"Impian Sage adalah untuk menjadi juara di ONE Championship bagi sukan MMA, Muay Thai dan Kickboxing. Disebabkan kami menganjurkan ketiga-tiga sukan tempur ini dan tidak terhad pada sukan MMA sahaja, saya yakin dia boleh menjadi juara (untuk tiga jenis sukan tempur).
Buat masa ini belum ada berita tentang pertarungan seterusnya buat Northcutt. Dia sekarang sedang berehat dan dalam proses pemulihan dari kecederaan yang dialaminya.
Mampukah Northcutt kembali bangkit dari kekalahan teruk yang dialaminya? Sama-sama kita nantikan.
#CEO ONE Championship #Chatri Sityodtong #Cosmo Alexandre #Demetrious Johnson #Eddie Alvarez #ONE Championship #Sage Northcutt
;