Digelar pakar seri, Perak ikat dua pemain baru dari Brazil
Astro Awani
Mei 9, 2019 16:50 MYT
Mei 9, 2019 16:50 MYT
Selepas digelar pakar seri, Perak mengambil khidmat dua pemain Brazil iaitu Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais bagi memperkukuhkan pasukan dalam baki kancah Liga Malaysia musim 2019.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengambilan mereka bagi menggantikan Gilmar Jose da Silva Filho dan Wunder Luiz Biten Court Junior.
Menurut Ahmad Faizal, Gilmar digantikan berikutan kemerosotan prestasinya manakala Wunder menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan anak di Brazil.
"PAFA mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua pemain yang telah membantu Perak menjulang Piala Malaysia tahun lalu,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Perak kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas mengutip 14 mata hasil dua kemenangan, lapan seri dan dua kekalahan.
Ronaldo, 28 tahun, adalah penyerang dari kelab Esporte, Brazil dan pernah beraksi dalam J League untuk Yokohama FC manakala Raianderson atau lebih dikenali sebagai Cereca, 23 tahun, dari Atletico Acreano diambil bagi memperkukuhkan jentera tengah Perak.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, pengambilan Ronaldo dan Cereca diharap menjadi jawapan kepada ketumpulan jentera serangan pasukan The Bos Gaurus setakat ini.
Katanya kedua-dua pemain dijangka dapat beraksi dalam suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC di Stadium Perak, Sabtu ini.
Presiden PAFA itu menyangkal dakwaan bahawa Perak turut menggantikan Zac Anderson kerana khidmatnya masih diperlukan untuk mengemudi benteng pertahanan.
#Ahmad Faizal Azumu
#bola sepak
#Brazil
#Gilmar Jose da Silva Filho
#Ipoh
#Liga Super
#PAFA
#Perak
#Piala FA
#Piala Malaysia
#Raianderson Da Costa Morais
#Ronaldo Henrique Silva
#Wunder Luiz Biten Court Junior