Diego Costa wira Sepanyol mengatasi Iran

Ian Johan Ariff
Jun 20, 2018 07:08 MYT
Pemain Sepanyol Diego Costa meraikan gol pertama pasukan itu bersama rakan sepasukan Isco. - Reuters/Sergio Perez
Nasib menyebelahi Sepanyol dalam perlawanan kedua kumpulan B, apabila gol penyamaan Iran dinafikan VAR dan juga gol kemenangan yang kurang meyakinkan disebalik penguasaan bola yang tinggi.
Diego Costa menjaringkan gol tunggal perlawanan Sepanyol menentang Iran, untuk pasukannya melakar kemenangan pertama peringkat kumpulan.
Gol tersebut hadir selepas pemain Iran, Ramin Rezaeian cuba untuk mengeluarkan bola dari bahaya, namun tendangannya itu terkena lutut Costa sebelum menerjah gawang Iran.
Iran kerap kali mengancam kubu Sepanyol dan hasilnya pada minit ke-62, Saeid Ezzatollahi berjaya merembat masuk bola ke dalam gawang yang dikawal David De Gea.
Gol tersebut mendapat bantahan kem Sepanyol yang mendakwa Saeid berada pada posisi ofsaid ketika bola dimainkan.
Selepas meniliti keputusan pengadil VAR, gol tersebut dibatalkan untuk kedudukan kekal 1-0 kepada Sepanyol.
Pada minit ke-82, Vahid Amiri bijak menggelecek bola melepasi Gerard Pique sebelum membuat hantaran silang tepat kepada Mehdi Taremi, yang gagal menanduk tepat ke sasaran.
Kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel penamat untuk Sepanyol melakar kemenangan pertama dalam kumpulan B.
Sepanyol mengumpul empat mata sama dengan Portugal dan akan bertemu Maghribi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 26 Jun, jam 2 pagi.
Tonton: Iran 0-1 Sepanyol
#Awani FIFA #Diego Costa #Gerard Pique #Iran #Kumpulan B #Mehdi Taremi #Raya Bola 2018 #Saeid Ezzatollahi #sepanyol #Vahid Amiri #VAR
;