Dibenam Liverpool: Manchester United bukan sekadar memalukan malah mengaibkan - Rangnick

Astro Arena
April 20, 2022 12:08 MYT
Sembilan gol yang dibolosi United ketika menentang Liverpool adalah jumlah terbanyak yang pernah mereka catat dalam semusim Liga Perdana Inggeris (EPL). - Foto REUTERS
RALF RANGNICK menganggap Liverpool telah mengaibkan Manchester United pada musim ini berikutan kekalahan 0-4 The Red Devils di Anfield, awal pagi tadi.
Ia adalah kali kedua pada 2021-22 kelab dari Merseyside itu menewaskan United selepas menang 5-0 di Old Trafford November lalu -– tetapi memandangkan United tempang tanpa seorang pemain ketika itu, keputusan tadi boleh dikatakan lagi teruk.
Sembilan gol yang dibolosi United ketika menentang Liverpool adalah jumlah terbanyak yang pernah mereka catat dalam semusim Liga Perdana Inggeris (EPL) -- kali terakhir mereka mengalami kekalahan agregat yang lebih teruk (0-11) dalam dua perlawanan kepada pasukan yang sama ialah Sunderland iaitu pada 1892-93.
BACA: Manchester United jadikan hidup Liverpool lebih mudah - Salah
Persembahan United dalam babak pertama cukup hambar yang menyaksikan Liverpool mendominasi sepenuhnya permainan tanpa barisan yang dikemudi Rangnick itu sempat melancarkan satu percubaan pun buat julung kalinya sejak April 2018.
"Ia memalukan, mengecewakan, mungkin juga mengaibkan. Kami perlu menerima hakikat bahawa ketika ini mereka enam tahun di hadapan kami," katanya kepada BBC Sport.
"Apabila Jurgen Klopp datang, mereka berubah dan dia bukan sahaja mengangkat pasukan malah membawa mereka ke tahap yang baru.
"Itulah yang perlu berlaku dengan kami dalam jendela perpindahan seterusnya."
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI STADIUM ASTRO
#Manchester United #Liverpool #EPL #Liga Perdana Inggeris #Ralf Rangnick #jurgen klopp
;