Diaz kembali, penyokong gembira

Ian Johan Ariff
November 20, 2017 17:26 MYT
Jorge Pereyra Diaz menjaringkan 18 gol dalam 22 perlawanan Liga Super untuk JDT pada 2016. Gambar - BERNAMA.
Penyokong-penyokong JDT (Johor Darul Ta’zim FC) menyambut baik kembalinya penyerang kesayangan mereka, Jorge Pereyra Diaz untuk saingan Liga Super 2018.
Pengumuman itu dibuat menerusi laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.
Ternyata kelibat pemain Argentina itu dirindui penyokong JDT kerana gandingan bersama rakan senegaranya, Juan Martin Lucero pada 2016 lebih berbisa berbanding gandingan Gabriel Miguel Guerra dan Gonzalo Cabrera.
Gandingan Lucero (16 gol) & Diaz (18 gol) berjaya menghasilkan 34 gol daripada 54 gol dijaringkan JDT dalam Liga Super pada 2016.
Tahun lepas, gandingan dua pemain Argentina JDT, Guerra (7 gol) dan Cabrera (11 gol) menyumbang hanya 18 gol daripada 48 gol yang dijaringkan JDT.
Jumlah gol yang dijaringkan jelas kurang berbanding JDT bersama kelibat Diaz dan Lucero.
Bukan itu sahaja, pemain yang mendapat nama jolokkan the Beast itu juga dapat mengembalikan keterujaan penyokong untuk menonton aksinya di stadium.
Penyokong-penyokong JDT juga yakin dengan kembalinya Diaz, JDT akan mempertahankan kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut selain menjuarai kesemua kejohanan tempatan termasuk Piala FA dan Piala Malaysia.
Menurut laman web semuanyabola.com, Diaz dijangka bergandingan dengan Luciano Figueroa di barisan hadapan pada 2018.
Diaz yang dipinjamkan ke kelab Mexico, Club Leon membuat lapan penampilan untuk kelab itu.
Masalah disiplin dan permintaan gaji yang tinggi merupakan punca Diaz dipinjamkan ke Club Leon.
Diaz juga menggunakan laman sosial untuk mengkritik pengurusan kelab JDT secara terbuka pada penghujung tahun 2016.
#Argentina #Facebook #Gabriel Miguel Guerra #Gonzalo Cabrera #Independiente #JDT #Johor Darul Ta zim #Johor Southern Tigers #Jorge Pereyra Diaz #Juan Martin Lucero #Liga Super #Lucho #Luciano Figueroa #Piala FA #Piala Malaysia #semuanyabola #The Beast
;