'Dia tetap wira nombor satu di hati saya' - Bapa Chong Wei

Bernama
Ogos 20, 2016 07:48 MYT
Bapa Chong Wei, Lee Ah Chai, 63, (kanan) bersama kawan-kawannya menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki di Olimpik Rio di antara Chong Wei dan Cheng Long Sabtu malam. - Foto Bernama
Biarpun gagal membawa pulang emas Sukan Olimpik, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap wira nombor satu di hati bapanya, Lee Ah Chai.
Ah Chai, 63, ketika ditemui di kediamannya di Bandar Cassia, Batu Kawan di sini menyatakan anaknya telah berjuang habis-habisan menentang juara dunia dari China, Chen Long.
"Biarpun tewas, Chong Wei tetap mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan ini. Dia tetap wira di hati saya dan selama-lamanya berada tempat pertama di hati saya," katanya.
Sambil memuji persembahan Chen Long, Ah Chai turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan penuh terhadap anaknya.
Ayah kepada jaguh negara berusia 33 tahun itu juga turut memohon maaf kepada seluruh rakyat negara ini kerana anaknya tidak dapat menghadiahkan emas buat Malaysia pada temasya Olimpik ini.
Chong Wei tewas kepada Chen Long 18-21, 18-21 dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada Sabtu.
Sementara itu, bekas jurulatih negara Datuk Misbun Sidek menyifatkan Chong Wei sebagai atlet terbaik dalam sejarah Malaysia dan pasti sukar untuk mencari penggantinya selepas ini.
"Ini semua adalah sejarah. Tahniah saya ucapkan kepadanya dan sememangnya menang atau kalah itu adat pertandingan," katanya selepas menyaksikan perlawanan itu di sebuah restoran di Penaga, di sini Sabtu malam.
Misbun berkata walaupun tidak berjaya, Chong Wei telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam sukan tersebut.
"Pemain sebaik Chong Wei hanya akan dapat dijumpai selepas 10 hingga 15 tahun," katanya.
Pada masa sama, Misbun berkata Malaysia mempunyai pemain berbakat seperti Iskandar Zulkarnain tetapi beliau khuatir Iskandar tidak mempunyai pembimbing yang baik.
"Iskandar perlukan seorang pembimbing yang baik dan sekiranya digilap, saya yakin potensi beliau akan semakin cerah," katanya.
Terdahulu, kira-kira 200 peminat badminton negara berkumpul bersama Misbun di restoran itu untuk menzahirkan sokongan kepada Chong Wei.
Seorang peminat, Muhamad Khairul Idham Mustafa, 36, berkata beliau tetap bangga dengan Chong Wei walaupun tidak dapat meraih emas.
"Beliau tetap seorang pemain yang baik. Saya tetap bangga dengannya," katanya.
#Chen Long #Lee Ah Chai #Lee Chong Wei #Olimpik Rio #Rio 2016
;