Di usia 56 tahun, bapa Khabib masih mampu 'tumbangkan' anaknya
Haider Yutim
Mei 29, 2019 22:27 MYT
Mei 29, 2019 22:27 MYT
WALAUPUN sudah berusia, bapa kepada juara lightweight dunia UFC Khabib Nurmagomedov, dilihat masih mampu menandingi kekuatan anaknya itu.
Menerusi sebuah klip video yang dimuat naik di Instagram, Abdulmanap Nurmagomedov, 56 tahun, bukan sahaja mampu menahan malah boleh mengalahkan Khabib dalam pergelutan gusti.
Klip di instagram milik jurulatih, Javier Mandez itu menyaksikan Abdulmanap, dalam satu sesi latihan bersama anaknya, bergelut dengan Khabib sebelum menolaknya hingga ke belakang.
Khabib, 30, merupakan antara petarung seni bela diri campuran (MMA) yang mempunyai kemahiran gusti terbaik di UFC, tetapi nampaknya Abdulmanap juga tidak kurang hebatnya.
Tidak hairanlah jika dia takut dihempuk bapanya itu selepas insidennya 'mengamuk' dengan pasukan Conor McGregor di UFC 229 pada Oktober tahun lalu.
Bagi yang baru mengenali Khabib, petarung Islam ini dilatih bapanya sejak kecil dan Abdulmanap diiktiraf sebagai bapa sukan MMA di Dagestan, Rusia kerana berjaya melahirkan lapan juara dunia dan Olimpik (gusti roman-greko, sambo dan judo).
Khabib kini sedang menjalani ibadah puasa, dan sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan MMA selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229.
Dia didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan, manakala McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan.
Khabib dijangka mempertahankan kejuaraannya menentang juara interim divisyen lightweight, Dustin Poirier pada acara UFC 242 yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi.
Jika pertarungan ini menjadi kenyataan, bapa Khabib, yang juga jurulatihnya, dijangka akan berada di 'corner' Khabib.
Abdulmanap sebelum ini tidak berkesempatan berada di sisi Khabib ketika pertarungannya di Amerika Syarikat kerana masalah visa.
#Abdulmanap Nurmagomedov
#Conor McGregor
#Dustin Poirier
#juara lightweight dunia UFC
#Khabib Nurmagomedov
#Mixed Martial Arts
#MMA
#seni bela diri campuran