Di sini Harimau Malaya akan beraksi! Ini fakta tentang Stadium My Dinh, Hanoi
Astro Awani
Disember 13, 2018 11:32 MYT
Disember 13, 2018 11:32 MYT
PUSINGAN kedua perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu, 15 Disember.
Setelah mengikat Vietnam dengan jaringan 2-2, Malaysia menggalas cabaran penting untuk meneruskan kecemerlangan dalam aksi timbal balik, yang bakal menentukan siapa yang bakal membawa pulang kejuaraan untuk musim ini.
Dalam pada jutaan rakyat Malaysia mengharapkan kemenangan yang kita dambakan setelah 8 tahun menanti, ribuan lagi pula sudahpun menempah penerbangan mereka ke Hanoi untuk bersama-sama meminjamkan kekuatan dan semangat kepada pasukan pimpinan Tan Cheng Hoe ini.
Walau apapun, selamat berjuang buat skuad Harimau Malaya! Kami sentiasa bersamamu!
Sementara menunggu tarikhnya, berikut adalah beberapa fakta mengenai venue perlawanan penentuan ini:
1) Stadium My Dinh yang menjadi seni bina pusat dalam rangkaian Kompleks Sukan Nasional Vietnam merupakan stadium pelbagai fungsi dengan kapasiti penonton sejumlah 40,192, iaitu kira-kira separuh daripada kemampuan Stadium Nasional Bukit Jalil.
2) Pernah menjadi venue bagi upacara pembukaan dan penutup Sukan SEA 2003, selain menjadi lokasi untuk acara perlawanan bola sepak lelaki selain acara olahraga dan balapan.
3) Stadium ini menjadi ‘rumah’ bagi pasukan bola sepak Vietnam, Naga Emas, yang menyambut kunjungan pelbagai pasukan antarabangsa termasuk perlawanan persahabatan. Ia juga pernah menjadi tempat untuk pasukan kelab berpangkalan di Hanoi The Cong, dan kemudiannya Viettel FC.
4) Terletak kira-kira 10km ke barat laut dari pusat bandar raya Hanoi, stadium kedua terbesar di Vietnam itu memiliki seni bina bumbung berkeluk yang menaungi ruang grandstand di sebelah timur dan barat stadium. Sementara itu, tempat duduk di bahagian lain adalah terbuka.
5) Pada Julai 2000, Perdana Menteri Vietnam Phan Van Khai, meluluskan projek stadium ini selepas empat syarikat membida projek itu - Hanoi International Group (HISG - China), Philipp Holzmann (Jerman), Bouygues (Perancis) and Lemna-Keystone (Amerika Syarikat).
6) Proses pemilihan tender itu terpalit kes kontroversi kerana melibatkan isu teknikal dan ketelusan penilaian. Namun akhirnya, HISG memenangi kontrak tersebut dan menandatangani komitmen pada 14 Ogos, 2001.
7) Ketika pembinaan bermula pada tahun 2002, ia dinamakan Sân vận động Trung tâm (bermaksud ‘stadium pusat’). Apabila siap, ia secara rasmi dinamakan Stadium Nasional My Dinh dalam upacara perasmian apda 2 September 2003 sempena Hari Kebangsaan negara itu.
8) Stadium ini juga menjadi venue untuk acara hiburan berskala besar khususnya konsert bertaraf antarabangsa. Antara yang pernah membuat persembahan di sini ialah artis K-Pop seperti kumpulan Super Junior, banda pop punk Kanada, Simple Plan, dan kumpulan Westlife, selain ramai artis ternama Vietnam.
TRIVIA:
Nama: Stadium My Dinh
Lokasi: Nam Tu Liem
Pemilik: Kerajaan Vietnam
Pengendali: Kompleks Sukan Nasional Vietnam
Kapasiti: 40,192
Mula dibina: 2002
Mula beroperasi: 2 September 2003
Kerja baik pulih: 7 September 2016
Kos pembinaan: AS$53 juta
Arkitek: Hanoi International Group, HISG
#AFF SUZUKI
#Hanoi
#harimau Malaya
#Malaysia
#pasukan bola sepak
#Piala AFF Suzuki
#skuad negara
#Stadium My Dinh
#Vietnam
#WeBelangTogether