Dhabitah akur jika pingat emas Sukan SEA ditarik balik
Bernama
Oktober 28, 2017 22:07 MYT
Oktober 28, 2017 22:07 MYT
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri akur jika pingat emas acara 3m papan anjal seirama wanita yang diraih bersama Wendy Ng Yan Yee yang didapati positif doping pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), ditarik balik oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
Nur Dhabitah berkata jika diikutkan perasaan, memang wujud rasa kecewa namun dengan adanya semangat sepasukan, beliau akan sentiasa bersama Wendy dan menerima segala keputusan yang bakal diterima.
"Saya mahu Wendy tahu, kami skuad terjun negara tetap sentiasa bersamanya memberi semangat kepada Wendy berhubung kes doping itu," katanya selepas memenangi pingat gangsa 3m papan anjal wanita pada Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.
Pada KL2017, Nur Dhabitah turut meraih pingat perak acara 3m papan anjal individu wanita berkemungkinan akan memenangi pingat emas acara itu sekiranya pingat emas Wendy ditarik balik (Wendy menang pingat emas).
Wendy disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine yang kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan selepas sampel B yang uji di makmal Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di New Delhi pada 11 Okt lalu turut positif.
Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) berhasrat untuk membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta SEAGF agar hanya satu pingat individu yang dimenangi Wendy ditarik balik.
-- BERNAMA
#Agensi Anti Doping Dunia
#Kejohanan Terjun Grand Prix
#Nur Dhabitah Sabri
#papan anjal
#seirama wanita
#sibutramine
#Wendy Ng Yan Yee