Devan kecewa NS gagal kutip mata penuh
Bernama
Februari 20, 2015 22:15 MYT
Februari 20, 2015 22:15 MYT
Ketua jurulatih Negeri Sembilan K. Devan berang dengan corak persembahan hambar skuad kendaliannya selepas terikat 1-1 dengan SPA Putrajaya FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.
Beliau berkata anak buahnya gagal memperagakan aksi sebenar mereka selain kurang mencipta peluang jaringan kerana mendakwa permukaan padang yang tidak rata selain cuaca panas.
"Saya rasa prestasi pemain kurang baik. Kita hilang dua mata walaupun sepatutnya dapat mata penuh. Kita tidak boleh buat hantaran dengan baik kerana bola selalu melantun," kata Devan ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Pada aksi tersebut, pemain import dari Liberia, Francis Forkey Doe meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-21 sebelum pemain gantian SPA Putrajaya FC, Nik Azlam Nik Januaha menyamakan kedudukan pada minit ke-81.
Dalam pada itu, K. Devan mengharapkan kehadiran semula Khyril Muhymeen Zambri yang sebelum ini ditimpa kecederaan, dapat membantu skuad Rusa itu meraih kemenangan menentang wakil Pahang, Kuantan FA di Stadium Darul Makmur, 6 Mac ini.
"Saya jangka beliau (Khyril) akan pulih dalam tempoh satu ke dua minggu. Kalau dia cergas, mungkin saya akan turunkan dia pada perlawanan berkenaan," kata Devan.
Berbeza pula pandangan disuarakan pengendali SPA Putrajaya FC, Mohd Shah Alias Mohd Norbit yang berpuas hati dengan kejayaan pasukan itu mencuri satu mata selepas diaibkan dalam dua perlawanan terdahulu.
Mereka kalah 5-1 kepada Kedah pada aksi pembukaan Liga Perdana, 6 Feb lepas di Alor Setar sebelum tewas dengan jaringan sama menentang Johor Darul Ta'zim II di sini, 13 Feb lepas.
"Saya nampak perlawanan hari ini agak berbeza, namun saya akui kita tidak mempunyai penyudah yang baik. Saya bagaimanapun harapkan pemain dapat kekalkan prestasi untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Pada masa sama, Mohd Shah Alias menegaskan pasukan berkenaan tidak berhasrat berpindah ke venue lain walaupun mendapat kecaman daripada jurulatih tempatan yang tidak berpuas hati dengan permukaan padang yang tidak rata.
Berkongsi nada yang sama adalah kapten pasukan itu, Mohd Aslam Haja Najmudeen yang menuntut rakan sepasukan terutamanya barisan serangan untuk bekerja keras bagi memburu tiga mata pertama pada aksi seterusnya menentang Sabah di Stadium Likas, 6 Mac ini.
"Syukur, Alhamdulillah, walaupun hanya satu mata, saya gembira kerana pasukan kita bangkit selepas kalah dalam dua perlawanan sebelum ini dan ini semua hasil kerjasama rakan sepasukan," katanya.