Derby Manchester: Ditolak angin pun anak buah Guardiola boleh tumbang - Mourinho

Astro Arena
Disember 9, 2017 12:05 MYT
Jose Mourinho (kanan) menghangatkan pertemuan 'derby' di Old Trafford dengan menuduh pemain Manchester City gemar merebahkan badan.
JOSE Mourinho menghangatkan pertemuan 'derby' di Old Trafford dengan menuduh pemain Manchester City gemar merebahkan badan.
Rakan sejawatannya di City, Pep Guardiola, mengulas hubungan mereka yang "betul dan mesra" sejak tiba di Manchester tahun lalu -- agak bertentangan dengan persengketaan yang timbul ketika mereka masih mengendalikan Barcelona dan Real Madrid.
Awal minggu ini, pengurus Manchester United mencadangkan Guardiola berbohong mengenai perancang, David Silva, yang kononnya dalam keraguan untuk pertembungan hujung minggu ini. Silva telah diisytiharkan cergas untuk menghadapi United, dan City berpeluang melebarkan kelebihan lapan yang sedang dimiliki mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan ke-14 berturut-turut.
Pengurus Portugis seolah-olah cuba membuat luka lama berdarah kembali dengan komen pra-perlawanan yang lebih provokatif apabila menyatakan penyerang City "hilang keseimbangan badan dengan mudah".
"Mereka bertahan dengan baik, mereka bertindak balas dengan baik ketika kehilangan bola, mereka mempunyai dinamik yang baik dalam serangan," katanya.
"Mereka mempunyai pergerakan kreatif, pemain dan jurulatih yang hebat.
"Mereka mempunyai banyak perkara yang bagus, jika anda bertanya kepada saya satu perkara yang paling tidak saya sukai, iaitu mereka mudah hilang keseimbangan badan, sedikit angin lalu mereka jatuh."
City telah memenangi empat penalti musim ini, lebih banyak daripada mana-mana pasukan dalam EPL.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, pada bulan lalu menimbulkan kontroversi dengan mengatakan Raheem Sterling "rebah dengan baik" selepas pemain sayap England itu diterjah Nacho Monreal dalam kotak penalti. Kemudian Sergio Aguero menyempurnakannya dalam kemenangan 3-1.
Mourinho juga mengatakan Guardiola mendapat layakan berbeza daripada pengadil atas reben kuning yang beliau kenakan pada hari pertandingan dan dalam sidang media, beberapa minggu kebelakangan ini bagi menyatakan sokongan kepada ahli politik yang dipenjarakan di Catalonia.
"Saya fikir ideologi dan kepercayaan politik adalah sesuatu yang kita berhak dapat," kata Mourinho.
"Kita adalah warga negara biasa, sama seperti orang lain di negara kita dan begitu juga dengan semua orang di dunia.
"Saya telah mengenali Pep selama bertahun-tahun, saya fikir saya tahu apa yang Pep fikirkan tentang negaranya, tetapi untuk menonjolkannya dalam bola sepak? Saya tidak tahu peraturan.
"Sekiranya peraturan membolehkan kami berbuat demikian, dia bebas untuk melakukannya tetapi saya tidak pasti jika peraturan membenarkan apa-apa mesej politik di atas padang.
"Tetapi, saya kenal Pep dan saya tahu perasaannya juga seperti orang lain kerana ia kejadian umum mengenai negaranya."
Ditanya sama ada dia akan melakukan tindakan yang sama untuk menyokong sesuatu yang dekat dengan hatinya, Mourinho menjawab: "Saya rasa saya tidak dibenarkan."
#Arsenal #Arsene Wenger #barcelona #bola sepak #England #EPL #Jose Mourinho #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #Manchester United #Real Madrid
;