Depay terus pahat nama wira Barca

Astro Arena
Ogos 29, 2021 06:12 MYT
Memphis Depay (kiri) mengawal bola sambil diikuti rapat pemain Getafe Djene Dakonam ketika perlawanan La Liga antara Barcelona dan Getafe, di stadium Camp Nou, Barcelona, Sepanyol, 29 Ogos, 2021. (Foto AP)
BARCA 2 GETAFE 1
Ronald Koeman menegaskan Barcelona memiliki pemain yang mampu tampil dan mengetuai perjuangan mereka selepas Memphis Depay mempamerkan persembahan memberangsangkan ke atas Getafe, awal pagi tadi.
Kemenangan 2-1 dalam LaLiga itu hasil sentuhan pemusnah Sergi Roberto pada minit ke-3 dan larian menarik disusuli penyudah jitu penyerang Belanda, Depay, ketika perlawanan berusia setengah jam untuk gol kemenangan secara tidak langsung menyerlahkan lagi ketibaannya di Sepanyol sejak meninggalkan Lyon.
Di antara gol itu, bekas penyerang Barcelona, ​​Sandro Ramirez, sempat mengikat kedudukan meskipun Getafe masih buntu untuk mencipta sebarang mata musim ini tetapi masih mampu memberikan tekanan hebat kepada tuan rumah dalam babak kedua di Camp Nou berkenaan.
Di sebalik pujian yang disuarakan Koeman selepas perlawanan itu, barisan taruhannya hanya terdaya mengatur tujuh percubaan ke arah pintu gol -- catatan paling rendah dalam kempen liga sejak sekadar melakukan lima percubaan dalam kekalahan 'El Clasico' 1-2 kepada Real Madrid pada Mac 2013.
Tujuh mata dipungut Barcelona daripada tiga perlawanan itu menutup beberapa kepincangan serius yang dipamerkan selepas Antoine Griezmann sama sekali tenggelam dalam pertembungan dengan Getafe hingga mengundang ejekan.
Ketumpulannya ditempelak penyokong sendiri sekali gus memberi tamparan hebat kepada tuan rumah yang sudah pasti mengharapkannya mampu memainkan peranan lebih besar musim ini atas kekosongan yang ditinggalkan Lionel Messi.
Koeman tetap bernada positif dengan berkata: "Saya tidak gemar apabila pemain Barca disiul (simbolik ejekan). Seseorang yang bekerja keras seperti Antoine tidak patut dikritik.
"Semua penyerang akan menempuhi hari-hari tertentu apabila tidak dapat mencari ruang. Kami juga tidak mencipta peluang untuknya."
Penyerang Perancis itu melakukan terjahan terbanyak berbanding rakan sepasukannya, lima, tetapi sama sekali gagal merakamkan satu percubaan mahupun mencipta peluang sepanjang 84 minit di atas padang.
Getafe kini kemarau kemenangan 17 kali ketika berkunjung ke Barcelona dalam LaLiga dengan empat daripadanya berakhir dengan seri, tetapi Koeman tetap memuji kepada usaha pelawat.
"Ini adalah satu perlawanan yang sukar. Getafe adalah sebuah pasukan yang mantap," katanya.
"Kami bermula dengan baik kemudian mereka menyamakan kedudukan. Kami menguasai permainan tetapi kami tidak mencipta banyak peluang.
"Saya fikir dalam separuh masa kedua kami mengendurkan kawalan bola. Harus diingat, usaha dan sikap kami sentiasa menjurus ke arah memenangi perlawanan. Ini sesuatu berbeza dengan tahun lalu. Jika kami beraksi seperti hari ini pada tahun lalu maka kami pasti seri. Saya amat gembira dengan pasukan ini."
Depay tampaknya mula mengambil alih peranan Messi. Gol penyamaannya di Athletic Bilbao minggu lalu menjamin satu mata buat mereka dan kali ini, gelecekkan dan penyudah memukaunya dari sebelah kiri kotak penalti hampir mirip jaringan yang biasa dibuat Messi.
"Saya tidak pasti apakah Memphis harus memimpin," kata Koeman lagi.
"Ramai lagi pemain yang melakukannya. Kami sedar dengan kelibatnya kami mempunyai seorang pemain di tahap tinggi yang mampu membawa perbezaan. Dia melakukannya hari ini dan juga minggu lalu."
Gergasi Catalunya itu belum memasuki pasaran perpindahan sebelum tarikh akhir esok, malah Koeman belum pasti prospek yang boleh ditandatangi.
Dia berkata: "Mudah-mudahan kami dapat memperkasakan pasukan memandangkan kami memerlukannya tetapi jika tidak, kami akan tetap bekerja keras seperti sebelum ini."
#barcelona #Getafe #Memphis Depay #LaLiga
;