Dendam Louis Van Gaal masih tebal
Israr Khalid
Disember 18, 2017 20:32 MYT
Disember 18, 2017 20:32 MYT
LOUIS VAN GAAL menyatakan bahawa dia hanya akan kembali mengurus sekiranya dia menerima tawaran daripada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, lapor The Mirror.
Dengan itu, dia boleh melunaskan dendam kepada ‘Syaitan Merah’ iaitu bekas kelab kendaliannya, Manchester United.
Van Gaal meneraju United untuk dua musim, bagaimanapun dipecat pada musim panas 2016 walaupun berjaya menjulang FA Cup yang menjadi perlawanan terakhirnya.
“Saya rasa saya tidak lagi akan menguruskan mana-mana kelab.
“Kecuali jika ada kelab besar Inggeris datang kepada saya, saya akan lakukannya. Dengan itu saya berpeluang menyelesaikan hal dengan Manchester United,” katanya.
Kekosongan ditinggalkan Van Gaal di Old Trafford diisi Jose Mourinho, tetapi pengendali kelahiran Belanda berusia 66 tahun itu tidak menyalahkan kehadiran ‘The Special One’ sebagai penyebab pemecatannya.
Sebelum ini Van Gaal menyatakan kurang senang dengan cara dia meninggalkan kelab itu, juga mendividu yang mencadangkan supaya Mourinho dicalonkan untuk menggantikannya ketika dia masih menduduki kerusi pengurus.
“Sepatutnya (Ed) Woodward (Naib Pengerusi Eksekutif Man Utd) datang kepada saya dan berbincang tentang perkara itu,” ujarnya.
Mourinho merupakan pembantu Van Gaal di Barcelona pada 1997 hingga 2000.
#bola sepak
#dendam
#Jose Mourinho
#Louis van Gaal
#Manchester United
#Old Trafford
#The Special One