Demi pingat Piala Dunia, Emiliano Martinez belanja lebih RM100,000 beli anjing pengawal
Astro Awani
Januari 2, 2023 05:15 MYT
Januari 2, 2023 05:15 MYT
PENJAGA gol Argentina dan Aston Villa, Emiliano Martinez tidak lokek untuk berbelanja besar bagi memastikan pingat Piala Dunia yang dimenanginya dijaga dengan baik.
Martinez dilaporkan membayar £20,000 (kira-kira RM106,000) untuk membeli seekor anjing pengawal, dengan tugas utama anjing berkenaan adalah memastikan pingat juara Piala Dunia 2022 sentiasa dalam keadaan selamat.
Dia membeli anjing pengawal Belgian Malinois, yang digunakan oleh Perkhidmatan Udara Khas Britain dan Tentera Laut Amerika Syarikat.
Pemain berusia 30 tahun itu adalah watak penting dalam kejayaan Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 malah turut memenangi anugerah Sarung Tangan Emas, namun telah dikritik kerana telatah kurang sopannya semasa meraikan kejayaan Argentina.
Beberapa bintang sukan telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutama selepas kediaman beberapa pemain bola sepak ternama menjadi sasaran pencuri.
Antaranya ialah ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, penjaga gol Perancis Hugo Lloris, bekas bintang England, Ashley Cole dan Jack Wilshere, dan juara dunia tinju Tyson Fury.