Demam Piala Dunia 2022 sudah mula, ribuan peminat berarak di Doha
Agensi
November 12, 2022 00:31 MYT
November 12, 2022 00:31 MYT
DOHA: Sembilan hari sebelum bermula kejohanan bola sepak dunia, ribuan ekspatriat terutama peminat dari India memakai jersi berwarna Argentina, Brazil dan England mula berhimpun sempena Piala Dunia 2022 di Doha.
Memetik laporan TRT World, peminat Lionel Messi, Neymar dan Harry Kane berkumpul dan mula berarak yang mana perarakan kebiasannya tidak dibenarkan di negara itu.
Menurut AFP, perhimpunan itu turut menyaksikan ribuan peminat dari Kerala, sebuah kubu bola sepak di India yang juga menyumbang sebahagian besar masyarakat India di Qatar iaitu kira-kira 750,000 orang.
Salah seorang peminat bola sepak yang enggan dikenali memberitahu pihak berkuasa Doha sudah dimaklumkan mengenai perhimpunan ini.
“Ini adalah hari kami,” katanya.
Piala Dunia pertama di UAE
Demonstrasi dan perhimpunan jarang dianjurkan di Qatar dan sekiranya berlaku, ia pasti dikawal ketat oleh pihak berkuasa. Tetapi untuk Piala Dunia 2022, suasana cukup berbeza apabila polis memerhati dari jarak berjaga-jaga.
Sementara itu, Presiden FIFA Gianni Infantino memberitahu melihat pemain bola sepak dari seluruh dunia mendarat di Doha menyemarakkan ‘demam’ bola sepak dunia yang sudah bermula.
"Pekerja asing di Qatar cintakan sukan bola sepak dan mereka membeli banyak tiket.
"Ini adalah Piala Dunia pertama di negara Arab dan acara ini juga akan menjadi Piala Dunia pertama di Asia Selatan,” katanya.
Selain itu, peminat bola sepak dilihat berarak melepasi Istana Diraja di Doha, di mana mengambil gambar bangunan itu kebiasaanya tidak dibenarkan.
"Ini adalah hari kegembiraan bagi kami," kata peminat bola sepak bernama Rajesh.
Perhimpunan yang berlangsung semalam (Jumaat) itu diadakan sehari selepas Amerika Syarikat menjadi pasukan pertama tiba di Qatar untuk acara yang bermula 20 November depan.