Delia Arnold semakin hampir pertahan gelaran kebangsaan

Bernama
November 19, 2016 00:28 MYT
Delia mara selepas hanya memerlukan 25 minit untuk menjinakkan Zoe Foo 11-3, 11-7, 11-7 bagi menempah pertemuan menentang pemain remaja, S. Sivasangari yang layak sesudah menewaskan Aifa Azman 11-7, 11-8, 4-11, 4-11, 11-4. - fotoBERNAMA/Fail
Juara bertahan, Delia Arnold semakin hampir dalam usahanya mempertahankan gelaran di Kejohanan Skuasy Kebangsaan selepas mara ke separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil di sini pada Jumaat.
Delia mara selepas hanya memerlukan 25 minit untuk menjinakkan Zoe Foo 11-3, 11-7, 11-7 bagi menempah pertemuan menentang pemain remaja, S. Sivasangari yang layak sesudah menewaskan Aifa Azman 11-7, 11-8, 4-11, 4-11, 11-4.
"Saya pernah menentang Zoe sebelum ini dan pada perlawanan hari ini saya dapat lihat beliau menunjukkan peningkatan dalam permainannya.
"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan aksi saya dan berharap dapat mengekalkannya pada separuh akhir esok," katanya kepada pemberita.
Pilihan kedua kategori wanita, Low Wee Wern turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Teh Min Jie 11-6, 11-5, 11-5 dalam masa 35 minit.
"Saya gembira dengan permainan saya walaupun pada awalnya bermula dengan agak perlahan akibat keletihan berikutan perlawanan semalam, namun saya berjaya mendapat rentak permainan saya.
"Di separuh akhir esok, saya menjangkakan ianya menjadi lebih sukar tetapi akan berusaha sebaik mungkin," kata Wee Wern yang bakal berdepan adik Delia,
Rachael yang mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Aika Azman 11-5, 11-7, 11-6.
Bagi kategori lelaki pula, pemain nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Adnan dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan lawannya, Mohammad Syafiq Kamal 9-11, 11-3, 11-8, 11-4 dalam pertarungan selama 45 minit.
"Saya mengambil masa agak lama untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang ditambah dengan corak permainan pantas yang dipamer Syafiq pada awal permainan sehingga tunduk pada set pertama.
"Namun pengalaman memihak kepada saya untuk bangkit menguasai perlawanan dalam set berikutnya," kata pemain ranking ke-31 dunia itu.
Menanti Mohd Nafiizwan di separuh akhir adalah juara remaja dunia, Ng Eain Yow yang mudah menewaskan Mohd Fareez Izwan 11-9, 11-4, 11-3.
Satu lagi aksi separuh akhir esok menyaksikan pertemuan antara Mohammad Addeen Idrakle Bahtiar dan Ivan Yuen Chee Wern. -- Bernama
#Delia Arnold #kejohanan skuasy kebangsaan #Pusat Skuasy Nasional #Zoe Foo