Del Bosque yakin bariskan pasukan terhandal Sepanyol
Astro Arena
Jun 1, 2016 18:20 MYT
Jun 1, 2016 18:20 MYT
JURULATIH Sepanyol, Vicente del Bosque, tidak kesal dengan pemilihan skuad 23 pemain yang akan dibawanya untuk menghadapi kejohanan Euro 2016 di sebalik menggugurkan beberapa nama besar.
Antara nama besar yang tercicir ialah Isco dan Saul Niguez, di mana Sepanyol akan menghadapi Republik Czech, Turki dan Croatia dalam saingan Kumpulan D.
Del Bosque berkata dia menyedari kekecewaan pemain yang tidak disenaraikan, namun menegaskan keputusan yang dibuat adalah muktamad.
"Saya rasa kesemua mereka adalah hebat, sudah pasti sukar untuk menelan hakikat tidak tersenarai dalam kejohanan besar seperti Euro 2016.
"Saul, Isco, Mario (Gaspar), (Santi) Cazorla, (Juan) Mata - kami memiliki ramai pemain yang belum disenaraikan lagi.
"Saya tidak kesal jika pemain-pemain dibandingkan," katanya.
Pertahanan Arsenal, Hector Bellerin, turut tersenarai di samping Juanfran susulan kecederaan yang menimpa Dani Carvajal.
"Saya akui pada mulanya kami agak ragu-ragu ketika menyenaraikan bek kanan. Kali ini kami mempertaruhkan Bellerin, pemain untuk masa depan," ujarnya.