Dek Wan juarai GP Olahraga Para Dunia di Tunisia

Bernama
Februari 7, 2023 06:45 MYT
Mohamad Ridzuan (tengah) memenangi tempat pertama acara 100m T35/36 (kecacatan fizikal) pada GP Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia, pada hari pertama kejohanan pada Isnin. - Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia
KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membuktikan masih memiliki kepantasan apabila berjaya merangkul emas acara 100 meter (m) T35/36 (kecacatan fizikal) pada Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 di Tunisia, pada Isnin.
Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dipanggil "Dek Wan" merekodkan masa 12.51 saat (s) untuk meninggalkan pesaing terdekat Abdulsattar Challoob dari Iraq yang membawa pulang perak dengan catatan 13.04s dalam kejohanan berlangsung di di Stadium Olahraga Rades, Tunis.
Pelari dari Maghribi, Anass Sikouk pula meraih gangsa dengan catatan 13.69s.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, pula berjaya merangkul perak bagi acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat 11.67s.
Muhamad Afiq gagal menandingi kehebatan wakil Uzbekistan, Mansur Abdirashidov yang membawa pulang emas menerusi catatan 11.28s manakala gangsa milik Mohammed Ayade dari Iraq dengan 12.09s.
Kejohanan yang bermula pada Isnin akan berakhir Rabu.
-- BERNAMA
#Tunisia #Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #GP Olahraga Para Dunia
;